Pejabat Google di Kuala Lumpur.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesah beliau akan mengadakan mesyuarat secara dalam talian bersama sebuah lagi syarikat gergasi iaitu Google hari ini.

Beliau berkata, pertemuan itu membuktikan Malaysia terus menarik minat pelabur asing selepas berjaya menarik pelaburan gergasi teknologi, Microsoft sebanyak AS$2.2 bilion (RM10.5) di negara ini minggu lalu.

Menurutnya, antara faktor negara menjadi pilihan ketika ini kerana kestabilan politik, dasar yang jelas serta kecekapan penjawat awam dan syarikat kerajaan.

“Yang kita (kerajaan) fokus adalah pertumbuhan ekonomi, saya nampak memang ada minat pelabur asing semasa di (lawatan) Jerman dulu, minggu lalu Microsoft, sebentar lagi saya akan bicara online (dalam talian) dengan Google,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan Seri Endon di sini hari ini.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada minggu lalu, Microsoft mengumumkan pelaburabn US$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI) negara untuk tempoh empat tahun akan datang.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Satya Nadella berkata, pelaburan itu termasuk membina infrastruktur digital, mewujudkan peluang kemahiran AI, menubuhkan Pusat Kecemerlangan AI Nasional dan meningkatkan keupayaan keselamatan siber negara.

Pelaburan itu menunjukkan komitmen Microsoft untuk membangunkan Malaysia sebagai hab kepada pengkomputeran awan dan teknologi maju yang berkaitan, termasuk AI generatif.

“Kami mahu memastikan bahawa kami mempunyai infrastruktur bertaraf dunia di negara ini supaya setiap organisasi, pembangun perisian dan syarikat pemula niaga boleh menggunakannya, bukan sahaja membina untuk negara ini tetapi untuk dunia dan rantau ini,” katanya dalam ucaptama pada Microsoft Build AI Day. – MalaysiaGazette