JOHOR BAHRU – Sebanyak 120 kawasan panas yang kerap berlaku banjir dikenal pasti di Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kesemua 16 PBT di negeri ini diminta menyelesaikan masalah di kawasan masing-masing secara berperingkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Sebagai contoh, katanya, Majlis Bandaraya Johor Bahru menyasarkan untuk menyelesaikan masalah banjir di 15 kawasan panasnya dalam tempoh dua tahun.
“Begitu juga, Majlis Perbandaran Kulai juga menyasarkan untuk mengatasi masalah banjir di kawasan hotspot mereka dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau juga berharap kesemua 16 PBT di seluruh negeri dapat merancang langkah-langkah mengatasi masalah banjir dalam jangka masa panjang bagi memastikan perkara itu dapat diatasi sepenuhnya.
“Kita perlu berfikir sedekad ke hadapan kerana masih banyak kawasan pembangunan yang sedang dirancang. Perlu diingatkan nyelesaian masalah yang hanya tertumpu kepada satu kawasan terjejas adalah tidak berkesan,” katanya.
Terdahulu, Jafni melawat projek tebatan banjir di Presint 10 selain memberitahu, Majlis Bandaraya Johor Bahru memperuntuk RM6.5 juta untuk membina tembok penahan setinggi dua meter dan panjang 430 meter.
“Lokasi ini merupakan salah satu kawasan panas di mana banjir telah berlaku lebih 10 kali dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini. Ini adalah penyelesaian jangka panjang yang dibuat oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya.- MalaysiaGazette