GOMBAK – Penyanyi yang juga rakan duet Allahyarham Datuk Hail Amir, Uji Rashid menyifatkan pemergian sahabat baiknya hampir 50 tahun itu memberi kesan yang mendalam buat dirinya.

Luahnya dalam nada sebak, selama mengenali Hail Amir, beliau sudah menggangap Allahyarham bukan sekadar sahabat tetapi seperti abang kandungnya sendiri ditambah dengan sikap yang gemar berjenaka.

“Dua hari saya di hospital ziarah arwah. Hari pertama melawat dia tak pandang saya pun, cakap pun tidak. Pada hari kedua sebelum meninggal, arwah bercakap. Dia bercakap dengan anaknya dan berborak.

“Saya beri salam, dia jawab sahaja tapi masa yang sama, saya sempat nyanyi ‘Encik Hail jangan marah, dia terus tersenyum.’ Bila kita nyanyikan lirik lagu Menunggu Nasi Minyak, nampak dia macam ingat kita,” katanya.

Penyanyi yang juga rakan duet Allahyarham Datuk Hail Amir, Uji Rashid.

Dalam pada itu, Uji berkata pemergian Allahyarham dalam industri seni adalah kehilangan yang tiada galang gantinya sekaligus beliau juga tiada lagi pasangan gandingan untuk menyanyikan lagu mereka.

“Sudah pasti paling terkesan untuk saya menyanyi secara duetlah, bukan rindu tapi hilang kasih sayangnya. Kami memang akrab antara satu sama lain walaupun dia sudah beristeri tapi kami semua rapat macam keluarga,

“Kami pun sudah bersahabat lama sejak bergelar penari kebudayaan dulu dan membesar bersama dalam industri seni,” ujarnya.

Hampir berdekad menjadi rakan duet dalam nyanyian, Uji dan Allahyarham Hail Amir berjaya menempa nama sebagai artis sensasi pada era 70-an.

Antara lagu nyanyian mereka yang terus popular sehingga kini adalah Antara Matamu dan Mataku, Menunggu Nasi Minyak, Seloka Hari Raya serta Tanda Kasih.

Hail atau nama sebenar, Abdul Hail Amir berusia 79 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 3.48 petang akibat jangkitan paru-paru.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini, sekitar pukul 11 pagi tadi yang turut dihadiri ahli keluarga dari Pulau Pinang dan rakan artis veteran tanah air. – MalaysiaGazette