PUTRAJAYA – Mahir dan tidak gentar menangkap ular berbisa menjadikan Ketua Jurulatih Skuad King Cobra (SKC), Safiq Mohamad menjadi penerima tunggal Pingat Perkhidmatan Cemerlang hari ini.
Lelaki berusia 31 tahun itu bersyukur apabila bakatnya dihargai selepas menerima penganugerahan tersebut pada Majlis Apresiasai Kecemerlangan 2023, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Safiq juga terkejut kerana belum sampai sebulan dinobatkan Tokoh Pekerja Perkhidmatan Awam sempena sambutan Hari Pekerja Kebangsaan 2024 pada 1 Mei lalu kini sekali lagi dirinya menerima pengiktirafan.
“Ini adalah anugerah kedua buat diri saya iaitu Anugerah Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) kerana sebelum ini saya terima anugerah dari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Alhamdulilah dengan anugerah ini, saya perlu bekerja dengan lebih kuat dan tekun untuk memartabatkan kementerian saya serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.
Beliau merupakan Pegawai Bomba Kanan ll juga tidak menyangka usaha kerasnya selama 11 tahun berhadapan konflik reptilia dengan manusia itu mendapat perhatian pihak atasan.
Bagaimanapun, Safiq yang juga Ketua Jurulatih Kursus Pengendalian Ular di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Terengganu tetap merendah dirinya untuk berkongsi ilmu.
“Kemahiran mengendalikan haiwan liar ini, kita ambil dari pebagai pihak. Sebagai anggota bomba, dari awal memang sudah diterapkan kepakaran atau kemahiran untuk kendali ular ini di tempat kejadian.
“Saya pun masih lagi belajar lagi dan kendalikan ular ini senang jika kita kenal siapa (sifat) dia. Kita juga kongsikan ilmu di Youtube Skuad King Cobra,” ujarnya.
Safiq yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata mengakui isterinya sering bimbang akan keselamatan dirinya apabila perlu bertugas untuk mengendalikan ular.
Tambahnya lagi, skuad kendaliannya yang ditubuhkan sejak 2015 dengan kekuatan seramai 30 anggota di seluruh Malaysia berjaya merangka modul latihan pengendalian ular untuk dikongsikan kepada semua anggota JBPM dan juga anggota luar negara.
“Sejak penglibatan saya dalam kemahiran ini, saya adalah orang pertama yang melakukan modul ini dalam JBPM dan banyak kita kongsi bersama anggota tentera dan pelbagai agensi lain.
“Setakat ini, pencapaian paling tertinggi iaitu kita telah mengajar anggota tentera Amerika Syarikat dengan penglibatan seramai 400 orang pada tahun lalu termasuk pasukan bomba dari Brunei.
“Walaupun saya lihat kursus ini seperti biasa tapi kita berjaya menjadi pusat rujukan pengendalian ular untuk negara luar dan ia suatu kebanggaan kerana memberi impak pada KPKT dan JBPM,” jelasnya. – MalaysiaGazette