Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh melawat pusat mengundi awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Kubu Bharu. Foto MOHD ADZLAN, 07 MEI 2024.

KUALA KUBU BAHARU – Perikatan Nasional (PN) boleh mengemukakan apa-apa petisyen pilihan raya sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan Pilihan Raya  Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) Sabtu ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, ia harus dilakukan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan PRK DUN Kuala Kubu Baharu diwartakan.

“Ini terpulang pada kepimpinan parti cuma jika hendak buat petisyen selepas 21 hari keputusan keluar (diwartakan) baru boleh (buat petisyen).

“SPR hanya menunggu dan terima dan teruskan dengan Mahkamah Pilihan Raya dan sebagainya,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan dan meninjau proses undian awal di Maktab PDRM Kuala Kubu Baharu hari ini.

Abdul Ghani berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mahu membuat petisyen kepada Mahkamah Pilihan Raya sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi PRK kali ini.

Takiyuddin beralasan kerajaan telah menyalahguna kuasa dan jentera sebelum dan ketika kempen PRK sedang berlangsung.

Takiyuddin berkata, perkara itu dibolehkan merujuk kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang dimaman Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad daripada Pas bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen pada pilihan raya berkenaan. – MalaysiaGazette