Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan yang mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus bermula 1 Disember 2024, boleh dipersoalkan berikutan pengumumannya dibuat lapan bulan sebelum ia dilaksanakan.

Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, kenaikan gaji itu hanya dapat dilaksanakan selepas Belanjawan 2025 dibentangkan dan diluluskan di Parlimen, iaitu pada suku keempat tahun ini.

Menurutnya, tidak dinafikan bahawa kenaikan itu adalah tertinggi dalam sejarah negara berbanding lebih 13 peratus sebelum ini.

“Disebabkan itulah, pelaksanaannya hanya dapat dilaksanakan pada 1 Disember. Walaupun agak lambat, namun semua pihak, baik kerajaan, pembangkang dan blok ketiga ahli-ahli Parlimen perlu menyokong usul ini di Dewan Rakyat.

“Kemungkinan besar pengumuman dibuat selaras dengan hari pekerja, namun beban ekonomi yang akan ditanggung oleh rakyat sebelum kenaikan gaji Disember nanti perlu difikirkan oleh kementerian bertanggungjawab.

“Mengikut portal berita Singapura, penghapusan subsidi minyak bakal berlaku seawal bulan Jun. Ini bermakna, selama enam bulan akan datang, harga minyak akan naik menyebabkan kos pengangkutan akan melonjak.

“Akhirnya, inflasi yang tinggi bakal ditanggung oleh rakyat kerana kos sara hidup yang meningkat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Shahir berkata, tanggapan bahawa penjawat awam malas, lembab bekerja, ponteng kerja dan menimbulkan masalah disiplin adalah stigma negatif bertujuan menjatuhkan imej penjawat awam.

Malah, persepsi bahawa kerajaan dianggap akan terus ‘memikul biawak hidup’ dan terpaksa menaikkan gaji secara automatik adalah tidak betul.

“Walhal, berdasarkan statistik pada tahun 2022, seramai 148 penjawat awam ditamatkan perkhidmatan dan dibuang kerja sepanjang tahun berkenaan disebabkan gagal dalam tempoh percubaan dan masalah tatatertib serta kelakuan.

“Selain itu, sejumlah 302 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuang kerja kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan bagi tempoh 2022 hingga Februari lalu,” ujarnya. .

Tambah beliau, kerajaan perlu serius dalam meneliti pelaksanaan kenaikan gaji ini tanpa melihat ia hanya menjadi ‘gula-gula’ pilihan raya kecil demi meraih undi penjawat awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast