Mara SPRM sempadan penguatkuasaan
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Ahli keluarga kepada ahli politik atau pegawai berkaitan kerajaan perlu memaklumkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya  memperoleh projek kerajaan.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berkata, cadangan itu merupakan langkah tepat dan wajar dilakukan bagi meningkatkan tahap ketelusan serta integriti dalam pentadbiran awam.

“Langkah ini juga akan membantu mengurangkan risiko konflik kepentingan dan memastikan setiap urusan dilakukan dengan penuh kebertanggungjawaban.

“MCW juga yakin langkah tersebut secara tidak langsung dapat memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan dan awam terutamanya dalam amalan tadbir urus yang baik,” kata Presidennya Jais Abdul Karim menerusi kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kontroversi pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Kerajaan Selangor kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti), syarikat milik bersama suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Mengulas mengenai isu tersebut, Jais berkata, MCW masih tercari-cari undang-undang atau peraturan yang dilanggar oleh syarikat itu memandangkan Hannah tidak memegang sebarang kepentingan dalam Kerajaan Selangor.

Susulan itu, beliau berpendapat, kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mendapati tiada salah laku dalam pemberian kontrak kepada suami Hannah itu sudah tentu diteliti dan dikeluarkan dengan alasan kukuh.

Bagaimanapun katanya, timbul keraguan mengenai pemberian kontrak secara terus kerana Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berjanji untuk mengelak amalan itu dalam mana-mana projek kerajaan atas nama integriti dan ketelusan.

“Namun, harus diketahui, rundingan terus bukan sesuatu yang melanggar undang-undang.

“Ini kerana kontrak kerajaan boleh diberikan secara rundingan terus atas justifikasi keselamatan dan kerahsiaan negara, di samping keperluan kecemasan, misalnya ketika berlaku bencana alam,” ujarnya.

Kelmarin Azam menegaskan, setakat ini tiada sebarang kesalahan mengikut undang-undang dalam pemberian kontrak projek DRT oleh kerajaan Selangor kepada Asia Mobiliti. – MalaysiaGazette

Isu kontrak suami Hannah: Siasatan interim SPRM tidak temui sebarang kesalahan – Azam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast