Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi

KUALA LUMPUR – Sebarang keputusan yang diambil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan pelaburan SRC International Sdn Bhd (SRC) tidak boleh dipersoalkan.

Bekas Pengarahnya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang menjadi saksi bersetuju dengan cadangan peguamnya, Chong Yik Loong bahawa setiap keputusan berkaitan dana SRC International bagi tujuan pelaburan adalah keputusan Najib.

Shahrol Azral berkata, Najib akan mengeluarkan arahan terperinci seperti yang beliau mahukan dan pada kebiasaannya tiada sesiapa akan menyoal keputusan tersebut.

“Tidak pernah terlintas oleh saya untuk tidak ikut arahan-arahan itu,” katanya pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin hari ini.

Shahrol Azral berkata demikian ketika memberi keterangan selaku pihak ketiga dalam saman sivil AS$1.18 bilion SRC terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil.

Shahrol Azral pada mulanya dinamakan sebagai defendan keempat, bagaimanapun namanya dikeluarkan oleh SRC dan kemudian dinamakan sebagai pihak ketiga atas permohonan Najib.

Bekas pengarah SRC lain yang turut dinamakan sebagai pihak ketiga ialah Datuk Suboh Md. Yassin, Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar dan Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin.

Dalam saman terbabit, selain Najib, SRC turut menamakan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan kedua.

SRC menyaman Najib yang didakwa telah melakukan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa bagi mendapatkan manfaat secara peribadi menggunakan dana syarikat tersebut.

Najib sedang menjalani hukuman penjara sejak Ogos 2022 selepas didapati menyeleweng dana SRC sebanyak RM42 juta.

Perbicaraan bersambung esok. – MalaysiaGazette