MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi rentas negeri terbesar selepas menyerbu sebuah stor simpanan diesel haram di kawasan perindustrian Krubong di sini malam tadi.
Pengarahnya Norena Jaafar dalam serbuan bermula pukul 7 malam dan berakhir 10 malam itu, pihaknya berjaya menyita sebuah lori tangki membawa 27,000 diesel yang sedang memulakan perjalanan untuk menyeludup bahan bakar itu ke sebuah negeri di Pantai Timur.
Menurutnya, turut disita adalah tiga buah skid tank berisi 8,000 liter diesel menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM256,000 termasuk 35,000 liter diesel bernilai lebih RM75,000.
“Turut ditahan adalah dua penjaga stor warga Bangladesh berusia 30-an dan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang juga pemandu lori tangki berkenaan.
“Dengan kejayaan ini, kita berjaya melumpuhkan aktiviti sindiket pengedaran diesel bersubsidi rentas negeri pertama di Melaka yang dipercayai sudah beroperasi sejak lebih setahun lalu,” katanya pada sidang media di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Norena berkata modus operandi (MO) sindiket itu adalah menggunakan lori ‘bonded’ atau tertutup untuk membeli diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak di negeri ini sebelum memindahkannya ke dalam tangki skid di stor berkenaan.
“Dari situ, bahan bakar berkenaan dipindahkan pula ke dalam lori tangki sebelum bergerak ke sebuah negeri untuk dijual secara haram pada harga lebih tinggi.
“KPDN Melaka komited untuk menggandakan lagi usaha memastikan Melaka bebas ketirisan diesel bersubsidi selaras dengan hasrat Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd. Ali,” katanya.
Tambahnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan. – MalaysiaGazette