PUTRAJAYA – Datuk Seri  Anwar Ibrahim sekali lagi membidas  pembangkang yang mempertikaikan keputusannya untuk menaikkan gaji penjawat awam.

Perdana Menteri berkata, parti pembangkang ketika menjadi kerajaan tidak pernah menaikkan gaji untuk penjawat awam,sebaliknya meminta rakyat berjimat cermat.

Menurut beliau, sewajarnya keputusan kerajaan menaikkan gaji penjawat awam diterima baik, namun menjadi pertikaian pula.

“Masa mereka memerintah potong elaun, suruh ikat perut. Sekarang kita nak bagi (kenaikan gaji) dia marah,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan.

Jelas beliau, keputusan untuk menaikkan gaji penjawat awam dibuat selepas beliau mempertimbangkan kedudukan kewangan dan kemampuan menjana hasil kepada negara secara terperinci.

Anwar sekali lagi mempertahankan keputusannya walaupun tindakan itu disifatkan sebagai tidak rasional ketika negara berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap hutang.

Bagaimanapun, Anwar yakin kerajaan mampu melakukannya.

Menurutnya, pelaburan yang masuk ke dalam negara  antara salah satu faktor yang memberi keyakinan terhadap kemampanan kewangan negara.

“Saya tidak salahkan orang yang menegur, kata dari mana nak cari wang naikkan gaji penjawat awam, dan Parlimen akan luluskan.

“Saya tidak mahu jawab itu semua kerana bila kita umum ia setelah dasar dilakukan, kita tahu dari mana kewangan, hasilnya dan kita dapat lihat umpamanya seperti mana Microsoft mulakan (pelaburan) tahun ini. Begitu juga pelaburan Acwa Power tahun, ini semua bukan rencana tiga empat tahun.

“Jadi kalau ada usaha seperti ini, kita yakin pendapatan negara akan bertambah, mutu khidmat penjawat awam lebih baik dan hasil akan bertambah. Dengan itu pandangan tentang bagaimana mengurangkan kebergantungan kepada hutang kurangkan defisit itu tidak berganjak.

“Ada orang kata ini bukan tindakan ekonomi yang rasional, orang pertikai bagaimana boleh belanja lebih kepada penjawat awam kemudian mahu kurangkan hutang negara jadi bagaimana mahu urus ekonomi negara (ada pertikai),” katanya lagi.

Awal bulan ini, syarikat teknologi dan perbadanan multinasional Amerika Syarikat (AS), Microsoft mengumumkan untuk melabur sebanyak AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam teknologi awan dan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.

Manakala syarikat gergasi tenaga boleh baharu (TBB) berpangkalan di Arab Saudi, ACWA Power pula berminat untuk melabur lebih AS$10 bilion di negara ini dalam tempoh 10 tahun, antara lain melibatkan penjanaan pusat data hijau.

Amazon Web Services (AWS) bakal membuka infrastruktur serantau baharu di Malaysia, dengan pelaburan bernilai RM25.5 bilion sehingga 2037.

Secara berseloroh, Anwar  meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Datuk Johan Mahmood Merican mengadakan kuliah kepada pemimpin pembangkang yang mempertikaikan usaha berkenaan.

Jelasnya, pihak pihak pembangkang  memperlekehkan keputusan yang sepatutnya dipandang positif tanpa mengira sensitiviti kerana tidak faham cara menguruskan kewangan negara.

“Kalau nak tahu, ada sesi dengan Johan bagi kuliah sikit kepada pemimpin pembangkang tentang ekonomi bagaimana kita uruskan. Kalau tidak nanti dia (pemimpin pembangkang) bingung kemudian cerca kerajaan di khalayak ramai.

“Padahal mereka (pembangkang) perlu ingat walaupun mereka cerca kita di Kuala Kubu Baharu (KKB) tapi setiap keluarga di sana ada penjawat awam yang bertugas. Kalau tidak anak pengundi, kalau tidak anak saudara pengundi, adik pengundi ada penjawat awam.

“Jadi jangan perlekehkan usaha kita. Saya tahu sukar, saya menunggu berbulan-bulan, mesyuarat berpuluh-puluh kali untuk pastikan saya yakin dan saya mahu kalau ada kenaikan, kenaikan yang bermakna boleh naik lima peratus saudara pun gembira tapi saya mahu yang adil,” tambahnya.

Sempena Hari Pekerja 1 Mei lalu, Anwar mengumumkan kenakan gaji penjawat awam lebih 13 peratus.

Katanya, kenaikan itu bermula 1 Disember tahun ini.- MalaysiaGazette