Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berucap pada peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2028 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto MALAYSIA GAZETTE, 07 MEI 2024.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan negara kehilangan kira-kira RM277 bilion akibat jenayah rasuah dalam tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2023.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ketirisan hasil negara itu berdasarkan kepada anggaran kumulatif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semasa.

“Dalam tempoh 2018 hingga 2023, jumlah anggaran (kehilangan) RM277 bilion. Kalau dibahagi kepada lima tahun, purata lebih kurang RM55 bilion setahun anggaran kehilangan,” katanya.

Terdahulu beliau hadir ke Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

AzamĀ  berkata, dana yang hilang itu sewajarnya dimanfaatkan untuk membantu rakyat dalam pelbagai aspek terutama pelaksanaan projek sosial seperti baik pulih hospital dan sekolah.

“Jumlah yang kita semua perhatikan perlu kita selamatkan, kita bercakap soal penjimatan kos bukan dari segi menjana pendapatan.

“Kalau kita dapat selamatkan wang begini, ia dapat membahagiakan rakyat dan kita semua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette