Mohd Puad Zakarshi

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan wajib berterus terang dan tidak berdolak-dalik berhubung spekulasi penjualan saham Malaysia Airport Berhad (MAHB) kepada firma yang dimiliki syarikat pro Zionis,

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, belum lambat untuk kerajaan membatalkan syarikat kaitan Israel memiliki saham MAHB.

“Adalah malang jika syarikat kaitan Israel memiliki saham dalam aset strategik negara yang melibatkan 39 lapangan terbang dalam negara,” katanya.

Global Infrastructure Partners (GIP) dan rakan kongsi dari Abu Dhabi yang didakwa akan memiliki 30% saham MAHB. GIP adalah subsidiari syarikat Blackrock yang pro Israel.

Puad berkata, jika transaksi itu dibenarkan, maka kredibiliti negara akan terjejas apatah lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru berjumpa dengan Presiden Hamas, Ismail Hanayeh.

Lagipun tegas beliau, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Airport Malaysia adalah aset strategik negara.

“Benarkan syarikat pro Israel terlibat umpama menjual kedaulatan negara. Wajar rakyat Malaysia membantah. Batalkan segera,” tambahnya.

Sebelum ini, Anwar berkata laporan yang mengatakan bahawa 25 peratus baki saham MAHB akan dimiliki syarikat pro zionis, adalah tidak berasas.

Beliau berkata, dakwaan yang dibangkitkan pembangkang itu hanyalah semata-mata untuk melahirkan kebencian rakyat kepada kerajaan.

“.. tiada yang positif daripada dia (pembangkang), hanya menghasut penuh dengan kebencian dan dengki. Segala kenyataan kita yang diakui oleh dunia termasuk pertemuan dengan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh tidak beri sesuatu yang positif kepadanya, yang dicari adalah fitnah dan hasutan,” kata Anwar.

Terbaharu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sekali lagi berkata, Khazanah tidak pernah menjual pegangan saham miliknya di dalam MAHB kepada sebuah syarikat berkaitan syarikat pro-zionis.

Sebaliknya, kata beliau, Khazanah hanya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk memperoleh semua saham yang belum dimiliki melalui dua anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Melalui aktiviti ini, Khazanah akan menambah pegangan dalam MAHB, tindakan ini tidak bermakna Khazanah menjual kepentingannya dalam MAHB bahkan Khazanah dan KWSP menambah pegangan dalam MAHB.

“Dakwaan mengatakan Khazanah jual MAHB kepada syarikat asing, itu tidak betul,” menurut Anthony. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Anwar kata pembangkang menghasut penuh dengan kebencian dan dengki???biar betul?masa mereka pembangkang dulu tidakkah mereka pun berbuat sedemikian jugak?melayu mudah lupa…mmmm

Comments are closed.