Zack (kanan) bersama Faisal.

INI adalah tulisan saya yang datang dari hati nurani saya yang sedang sedikit beremosi. Harapnya saya salah terutama dalam bab kembali ke tahap sebelum kejadian.

Selepas membaca laporan-laporan akhbar sehari dua ini, mentelaah membuat research mengenai 4th degree burn dan merujuk kepada beberapa doktor termasuk pelajar medical, pensyarah perubatan dan pakar.

Pagi tadi berbincang dengan sahabat saya seorang pakar di hospital di mana Faisal Halim sedang dirawat.

Rumusan awal saya buat masa ini ialah Harimau Malaya akan kehilangan khidmat Faisal bagi baki kelayakan Piala Dunia bulan depan.

Malah buat masa ini boleh dianggap karier bola sepak profesional dan antarabangsa beliau telah berakhir kecuali berlaku satu miracle atas kuasa dan kehendak Allah.

Buat masa ini beliau sedang dipantau rapi di ICU dan kawalan ketat di sana. Beberapa siri pembedahan sedang dirancang dan akan dilaksanakan.

Sebagai ahli sukan profesional dan bertaraf antarabangsa, untuk mencapai ke tahap apa yang beliau capai sebelum kejadian adalah satu perkara yang memerlukan terlalu banyak usaha, kerja keras, pengorbanan, disiplin tinggi dan masa.

Tidak semua orang yang minat dalam sukan dan bercita-cita besar mampu capai apa yang insan seperti Faisal capai sebelum ini.

Ada yang keluar air mata, korbankan masa dengan keluarga malah ada yang korbankan wang ringgit dan harta di peringkat awal mencapai cita-cita sukannya.

Lihat sahaja apa yang dilakukan oleh atlet seperti Azizulhasni, Lee Chong Wei, Nicol David, Pandalela, Misbun Sidek, Mokhtar Dahari, Sazali Samad dan beberapa atlit negara yang bertaraf dunia.

Semua nak jadi macam mereka tapi bukan semua dapat lakukan apa yang mereka lakukan. Bakat itu semulajadi tetapi bakat tanpa latihan bertubi-tubi, cara hidup berbeza dari orang lain.

Tapi tak semua tahu apa yang mereka lalui sebelum mereka capai apa yang kita lihat dan sorakkan.

Kento Momota merupakan pemain no satu dunia sebelum mengalami kemalangan di Lebuh Raya MEX.

Selepas pulih dari kecederaan, dia bergelut untuk kembalikan form seperti sebelumnya. Zakuan Adha merupakan penyerang nombor satu negara dan sangat berdisplin dalam latihannya dan penjagaan tubuh badan.

Tapi kecederaan ACL yang asyik datang telah menjadikan dia bukan lagi Zakuan yang sebelumnya.

Namun sebagai motivasi, Azizulhasni dan Brendan Gan boleh dijadikan contoh cuma keadaan mereka berbeza.

Azizul yang dikejutkan dengan masalah jantung serta Brendan yang didapati mengidap kanser, berehat seketika untuk berlawan dengan penyakit masing-masing.

Waktu itu ramai sangka mereka berdua akan berundur dari sukan masing-masing tetapi hari ini, Azizul layak ke Sukan Olimpik Paris buat kali kelima tahun ini manakala Brendan masih lagi diperlukan di liga profesional dan diturunkan di Piala Asia 2024 dan Kelayakan Piala Dunia.

Keadaan Faisal berbeza. 4th degree burn secara teorinya lebih serius dan masuk ke dalam. Untuk ahli sukan pro seperti Faisal, paling merisaukan ialah ia menjejaskan muscle dan nerve sistemnya.

Bermaksud muscle yang dibinanya bertahun-tahun untuk jadi pemain bola antarabangsa akan menjadi seperti orang tak pernah bersukan.

Sementara nervenya pula menyebabkan bahagian yang cedera itu sudah tiada apa-apa deria.

Paling dikhuatiri sekarang ialah asid yang disimbah itu akan mula menjalar merosakkan buah pinggangnya, nauzubillah, harap dijauhkan.

Ini kerana semakin hari, ia semakin jadi serius dan ganas. Pada hari kejadian semua dapat tengok Faisal boleh duduk tapi termenung.

Semakin hari asid itu semakin bertindak dan agresif. Sebab itu laporan awal kata 2nd degree tapi kemudiannya menjadi 4th degree.

Ini kerana tindak balas asid itu yang semakin menjadi-jadi walau doktor sedang cuba mengawalnya. Moral dan emosinya juga terjejas akibat trauma yang teramat.

Saya difahamkan Faisal akan terpaksa menjalani plastic surgery tapi bukan dalam masa terdekat ini.

Buat masa ni, dia dipantau dengan rapi agar tindakbalas asid itu tak merebak semakin jauh hingga menjejaskan nyawanya.

Memang benar, buat masa ini Faisal boleh lupakan bola sepak tapi tumpukan untuk kuatkan semangat agar tidak melibatkan nyawa.

Malah Faisal kena kuat dan berani agar bila pulih nanti tidak dalam kategori OKU akibat kerosakan nerve system yang menyekat pergerakan sebahagian anggota badan terutama yang sebelah kiri (bahagian yang diserang).

Apa yang berlaku ini adalah satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan, melampau dan tidak beradab!

Tidak ada sebab untuk ia dibiarkan walau dengan apa alasan sekali pun.

Sehubungan itu sebagai salah seorang pemerhati sukan negara ini, saya mengajak dan menyeru semua peminat dan ahli sukan negara sama ada yang aktif mahu pun yang telah bersara dari apa disiplin sukan sekali pun bersama-sama bersolidariti dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan sebegini ke atas mana-mana atlet sukan malah ke atas mana-mana manusia sekali pun.

Mana-mana agama sekali pun mengharamkan apa sahaja perbuatan khianat. Tiada agama yang menyeru umatnya untuk mengkhianati sesama manusia malah keatas binantang dan tumbuhan sekali pun.

Bersamalah kita berdoa agar Faisal Halim kembali bersemangat untuk pulih serta dijauhi daripada kecederaan lebih teruk hingga menjejaskan hidup dan nyawanya.

Faisal bukan sahaja aset bola sepak Selangor malah dia juga adalah aset bola sepak dan sukan negara. Di usia 26 tahun agak terlalu muda untuk dia menamatkan kariernya akibat perbuatan khianat manusia durjana.

“Ya Allah maha penyembuh segala penyakit, kami mohon kau titipkan kekuatan buat anak kami Faisal Halim yang sedang bertarung dengan kesihatannya agar ia tidak memudaratkan dirinya. Berilah kesembuhan yang terbaik buat dirinya. Berilah kami kekuatan untuk bersabar dan menyerah kepadaMu”.

“Ya Allah, Tuhan seluruh manusia, hilangkanlah sakit ini, sembuhkanlah, Engkaulah al-Syafi (Maha Penyembuh), tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit”. – MalaysiaGazette

 

Zack Rahim merupakan penganalisis sukan dan bekas pimpinan pengurusan bola sepak.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast