Aaron Ago Dagang.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) tiada kuasa atau peruntukan khas untuk mengambil tindakan-tindakan dari segi perundangan untuk mengendalikan aduan mengenai penghinaan mana-mana agama, selain agama Islam.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, Kementerian melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) berperanan penting dalam membantu mengurus isu perpaduan.

Antara mekanisme pengurusan isu perpaduan yang telah disediakan dan dilaksanakan oleh JPNIN adalah pengesanan dan pemantauan isu perpaduan di peringkat akar umbi melalui system e-Sepakat.

Sistem ini juga merupakan pusat pengumpulan data utama (big data) bagi pengurusan isu perpaduan di bawah kementerian.

Ia mempunyai tiga komponen utama yang merekodkan maklumat isu perpaduan yang seperti I-kes yang merekodkan isu-isu perpaduan yang telah berlaku.

I-ramal pula merekodkan isu atau berita yang dijangka berlaku serta I-Mediator pangkalan data maklumat Mediator Komuniti termasuk urusan pelantikan dan pelaporan kes mediasi.

Setiap maklumat yang direkodkan dalam e-Sepakat akan dianalisis untuk membina statistik dan pelaporan.

KPN melalui JPNIN akan menyediakan laporan isu perpaduan secara berkala seperti laporan mingguan, bulanan dan tahunan.

Maklumat ini turut dikongsi bersama rakan-rakan strategik Kementerian seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara, Suruhanjaya Komunikasi Multi Media serta termasuk dibentangkan di kabinet melalui Nota Jemaah Menteri secara suku tahun.

“Saya mengambil maklum cadangan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa pewujudan dua talian 24 jam tambahan di Malaysia untuk mengendalikan aduan mengenai penghinaan terhadap mana-mana agama selain agama Islam, kumpulan etnik, bahasa, budaya, gaya hidup atau identiti & satu lagi untuk orang ramai melaporkan hasutan dan keganasan,” katanya.

Dashboard Analitik Perpaduan pula akan menyokong sistem e-Sepakat untuk meningkatkan lagi kecekapan kerja selain bertindak sebagai sistem amaran awal terhadap sebarang isu atau konflik perkauman yang boleh berlaku.

“JPNIN turut memperkenalkan Mediator Komuniti yang terdiri Rukun Tetangga, Pegawai Perpaduan dan NGO Agama untuk menjadi pendamai dalam membendung atau mengurus konflik sosial di peringkat komuniti.

“Dengan mengambil kira semua platform sedia ada, saya berharap agar rakyat dapat memanfaatkan kesemuanya untuk memelihara keharmonian dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum di negara kita,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette