PETALING JAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menerima laporan penuh post mortemĀ prestasi mengecewakan skuad Harimau Muda Bawah 23 Tahun dalam aksi Piala Asia B-23 di Qatar pada April lalu, minggu ini.
Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Ketua Jurulatih Harimau Muda Juan Torres Garrido akan berjumpa dengan beliau bersama laporan penuh post mortem untuk tindakan lanjut.
“Minggu ini, Ketua Jurulatih Under 23 akan jumpa saya dengan laporan penuh post mortem aksi B23 di Qatar baru-baru ini dalam mesyuarat jawatankuasa FAM yang akan kita bersidang nanti.
“Kita kemudian akan lihat dan teliti keseluruhan hasil laporan penuh itu untuk memikirkan tindakan seterusnya nanti, ” katanya kepada MalaysiaGazette.
Mengulas lanjut, Hamidin menambah, antara perkara yang mungkin akan dibangkitkan dalam mesyuarat pertemuan itu adalah idea mewujudkan semula skuad Harimau Muda A seperti yang dilaksanakan oleh bekas Ketua Jurulatih Kebangsaan Datuk Ong Kim Swee.
Bagaimanapun, katanya, untuk idea itu FAM perlu mendapatkan kerjasama penuh daripada Majlis Sukan Negara.
“Jadi, kesemua perkara itu akan dibincangkan dalam perjumpaan itu nanti dan kita akan merumuskannya untuk tindakan lanjut nanti.
“Lagipun, kita sudah ada beberapa idea dan kita akan rumuskanlah dalam mesyuarat itu nanti yang mana kesemuanya melibatkan pembangunan skuad bawah 17, 19 dan 23 tahun,” jelasnya lagi.
Ditanya mengenai kurang aksi persahabatan dan persiapan menjadi menyumbang prestasi hambar skuad Harimau Muda B23 itu, Hamidin yang menafikan tanggapan itu berkata, dalam masa lima tahun kebelakangan ini sejak F35 dilancarkan FAMĀ berjaya kekalkan prestasi ke pusingan 16 terbaik.
“Bukan senang untuk kita mara pada kedudukan ke-16 terbaik dan kami mengharapkan pencapaian itu diulangi termasuk untuk pasukan senior (Harimau Malaya),” ujarnya.
Beliau berkata, menghantar skuad Harimau Muda B23 untuk bermain dan berlatih di luar negara adalah satu pendedahan untuk menaikkan prestasi persembahan skuad muda.
“Pun begitu, ia memerlukan kos kewangan yang tinggi dan kita sudah ada beberapa idea tetapi iperlu diperkemaskan dan dipersetujui oleh jawatan kuasa FAM,” jelasnya lagi.
Menjawab dakwaan lambakan pemain warisan dalam skuad dan apakah kaedah yang akan dilaksanakan FAM untuk menapis dan menilai setiap pemain agar berkualiti mewakili skuad kebangsaan, Hamidin berkata, FAM sudah menghentikan pengrekrutan pemain naturalisasi dalam skuad Harimau Malaya sepenuhnya.
“Malah, saya sudah ingatkan jurulatih di semua peringkat dalam skuad kebangsaan di bawah FAM supaya memastikan sama ada pemain warisan atau pemain local, kalau dia ada bakat maka pilih yang terbaik untuk mewakilii negara.
“Syaratnya pemain itu mesti ada kualiti dan bukan hanya disebabkan dia ada mewarisi campuran darah England dan sebagainya dan ini sememangnya disedari semua jurulatih dalam FAM.
“Pada akhirnya, jurulatih pasukan yang menapis, menilai dan membuat keputusan jika ada pemain warisan atau pemain tempatan terbaik antara yang terbaik dan ia juga diguna pakai untuk skuad kebangsaan Harimau Malaya,” ujar Hamidin.- MalaysiaGazette