Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) menyambut baik penjelasan rasmi Malaysia terhadap segala perkara yang dibangkitkan seperti kaitan pembiayaan keganasan serta maklumat berhubung pertubuhan, syarikat serta individu yang dikatakan berada di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia hasil pertemuan dengan Setiausaha Perbendaharaan bagi Keganasan dan Risikan Kewangan, negara itu, Brian Nelson dan delegasinya hari ini.

Menurut beliau, mengenai isu terbabit, delegasi tersebut menghormati dan menghargai pendirian Malaysia kerana memiliki undang-undang yang kukuh.

“Dalam perjumpaan berkenaan saya turut mengambil peluang memaklumkan mereka  mengenai perspektif negara mengenai perkara berkenaan dan termasuk dari segi politik, perundangan, penguatkuasaan serta kerjasama serantau yang dilakukan oleh bagi membasmi kegiatan berkenaan.

“Saya juga ada berkongsi pelan strategik lima tahun Kementerian Dalam Negeri bagi menangani perkara berkaitan dengan keganasan dan mereka mengambil maklum mengenai perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medila majlis Resepsi Penghargaan dan Pengumuman Pameran DSA 2026 dan NATSEC 2026 di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di Jalan Duta hari ini.

Mengulas lanjut Saifuddin Nasution menambah, wakil AS turut menyuarakan kebimbangan mengenai kegiatan beberapa pertubuhan yang berpengkalan di sini semasa perjumpaan berkenaan.

Namun beliau menegaskan terdapat pertubuhan terbabit telah dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Agensi berita antarabangsa, Reuters sebelum ini melaporkan pegawai tertinggi sekatan Jabatan Perbendaharaan AS itu akan mengadakan kunjungan ke Singapura dan Malaysia.

Pertemuan di Malaysia adalah bagi mendengar maklumat serta perincian dari AS berhubung dakwaan wujud aliran dana ke Iran dan proksinya, Hamas melalui sistem kewangan negara ini.

Perincian terhadap beberapa perkara itu termasuklah berkait pertubuhan, individu atau syarikat di Malaysia telah dibentangkan bagi proses verifikasi. – MalaysiaGazette