KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan perlawanan merebut Piala Sumbangsih malam esok, sepatutnya diteruskan.
Walaupun tidak ditujukan kepada sesiapa, hantaran media sosial baginda dipercayai merujuk kepada keputusan Selangor FC yang menarik diri daripada perlawanan berkenaan.
Menerusi Instagramnya, Tunku Ismail memuat naik satu reel dengan kapsyen dalam bahasa Inggeris yang berbunyi “in life, the show must go on” atau membawa maksud, dalam hidup, persembahan ini mesti diteruskan.
Baginda juga menulis tanda pagar #the game is rigged dan #what can you do.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kekecewaan susulan keputusan Liga Bolasepak Malaysia yang meneruskan pertemuan kedua-dua pasukan itu.
Dalam kenyataannya pagi tadi, baginda memberi sokongan penuh di atas keputusan Red Giants yang menarik diri daripada aksi pembuka tirai Liga Malaysia, esok.
Baginda bertitah, keputusan Selangor FC untuk tidak menyertai perlawanan itu adalah tepat.
Ia susulan beberapa insiden mengancam nyawa membabitkan pemain dan pegawai kelab itu, baru-baru ini. – MalaysiaGazette
Video Berkaitan