Monday, May 20, 2024
Home Sukan Perlawanan Sumbangsih dibatalkan, JDT bakal diberikan kemenangan ‘walkover’

Perlawanan Sumbangsih dibatalkan, JDT bakal diberikan kemenangan ‘walkover’

Ketua pasukan JDT, Jordi Amat Maas menjulang Piala Sultan Ahmad Shah selepas berjaya menumpaskan pasukan Terengganu FC dengan jaringan 2-0 pada Perlawanan Sumbangsih 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 24 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC esok dibatalkan berikutan Red Giant memutuskan untuk tidak hadir ke perlawanan itu.

Menurut Malaysian Football League (MFL), keputusan Selangor FC itu dimaklumkan menerusi surat rasmi yang dihantar kepada pihaknya.
“JDT bakal diberikan kemenangan ‘walkover’ dengan jaringan 3-0 dan mendapat 3 mata bagi perlawanan Liga Super (LS1),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan dan menyokong sepenuhnya keputusan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang dijadual berlangsung esok (10 Mei).
Baginda yang juga penaung Selangor FC menzahirkan pandangan sedemikian susulan tercetus beberapa insiden mengancam nyawa yang melibatkan pemain dan pegawai bola sepak baru-baru ini.
Malah Sultan Selangor turut menzahirkan rasa kecewa kerana pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak permohonan Selangor FC supaya menangguhkan perlawanan berkenaan.
Menurut MFL, perkara-perkara lain berkenaan penarikan diri itu akan dibawa ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette