Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Industri penyelidikan klinikal seperti Clinical Research Malaysia (CRM) perlu merebut peluang untuk melakukan pembaharuan secara berterusan agar kekal berdaya saing dan berkembang di peringkat global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedia menghapuskan halangan kepada penyelidikan klinikal dengan menambah baik garis masa dan mengurangkan proses birokrasi tidak perlu sambil mengekalkan kualiti dan standard.

“Peluang pelaburan untuk industri penyelidikan klinikal mesti dipermudahkan dan peraturan serta dasar dikemas kini untuk kekal relevan dengan keperluan pasaran semasa.

“Penubuhan (CRM) untuk memacu dan memangkin industri ini di Malaysia telah terbukti sebagai inisiatif strategik yang berjaya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“CRM berjaya memecahkan rekod apabila penyelidikan klinikal yang ditaja menjana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul sebanyak RM 1.16 bilion sejak 2012,” katanya pada majlis perasmian persidangan CRM Trial Connect 2024, Bangsar, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan menghargai pelaburan yang dibuat dalam industri penyelidikan klinikal dan Malaysia sentiasa berusaha untuk menyediakan faedah nilai tambah untuk pelabur.

“Pasaran percubaan klinikal global bernilai lebih AS$80 bilion pada 2023, dengan unjuran pertumbuhan sebanyak 6.5 peratus setiap tahun.

“Separuh dari jumlah itu kini sangat tertumpu di rantau Asia-Pasifik, terutamanya di China, Korea Selatan, Jepun dan Australia.

“Saya percaya negara-negara Asia Tenggara adalah gergasi sedang tidur; kerana ia adalah salah satu lokasi yang mempunyai pelbagai tenaga kerja mahir dan infrastruktur sokongan,” katanya.

Tambah beliau, apabila industri penyelidikan klinikal berkembang, perkhidmatan sokongan seperti CRO, makmal, kilang pembuatan dan perkhidmatan logistik akan turut berkembang.

“Di sinilah lebih ramai tenaga kerja mahir diwujudkan untuk menyokong keperluan industri.

“Kami telah pun memerhati perkara ini di Parexel Malaysia, di mana datanya Pusat Pengurusan telah disediakan untuk menyokong rantau ini,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata, dengan penubuhan Hematogenix iaitu makmal onkologi pusat dengan Malaysia sebagai salah satu dari empat lokasi global yang telah menyumbang kepada pekerjaan saintis dan bioinformatika di negara ini.

“Nilai sosio-ekonomi yang dibawa oleh penyelidikan klinikal memberi kesan, dengan lebih 2,700 pekerjaan mahir direkodkan dalam bidang penyelidikan klinikal tahun lepas,” katanya. – MalaysiaGazette