ALOR GAJAH – Seramai 22 pekerja asing sebuah kilang ayam di sini ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka dalam Ops Sapu awal pagi tadi.
Pengarahnya, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, dalam serbuan 12 tengah malam itu, 18 daripadanya didapati gagal memperbaharui permit kerja yang sudah tamat tempoh sejak lebih setahun lalu.
Menurutnya, empat lagi pekerja kilang ayam itu didapati menyalahgunakan pas dan tiada sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Kesemua lelaki yang ditahan berusia antara 30 hingga 40-an itu terdiri daripada 15 warga Nepal, Indonesia (6) dan seorang dari Bangladesh.
“Kita turut mengeluarkan Saman Saksi kepada majikannya untuk membantu siasatan kerana membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) berada di premis seliaannya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Tambah Anirwan, ketika diperiksa, pengurus lelaki berusia 30 tahun memberi alasan tidak sedar permit pekerjanya itu sudah tamat tempoh sejak Januari 2023.
“Majikan mendakwa urusan memperbaharui permit diserahkan kepada ejen dan tidak menyemaknya kerana beranggapan ia telah diuruskan sedangkan pemeriksaan kami mendapati tiada sebarang permohonan.
“Perbuatan itu menjadi kesalahan di bawah Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Tambahnya, seksyen itu memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 sehingga RM30,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI yang dijumpai di premis.
Semua 22 pekerja asing dibawa ke Depot Imigresen Machap Umboo untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette