Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu (PRK KKB) menunjukkan Kerajaan Perpaduan mempunyai daya tahan yang tinggi dan hubungan yang kukuh.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun pelbagai isu dimainkan parti pembangkang sepanjang tempoh berkempen namun ia tidak menjejaskan hubungan kerjasama antara parti itu dengan DAP.

“Biar pun kita dibaling dengan isu UMDAP dan agak sukar untuk kita menjelaskan namun hakikatnya jalinan antara BN (Barisan Nasional) dengan PH adalah tunjang dalam kerajaan dan parti-parti lain dalam di Sabah dan Sarawak. Kenyataan-kenyataan saya dan pemimpin UMNO lain sengaja diputar belit.

“Kejayaan hari ini bukti bahawa jika kita mempunyai daya tahan yang tinggi, apa pun yang disimbah oleh seteru politik kita ia tetap utuh dan kukuh untuk mempertahankan kerajaan perpaduan ini,” katanya ketika ditemui pada Sambutam Ulangtahun UMNO Ke-78 di Pusat Dagangan Dunia malam ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemenangan PH di KKB hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada jentera Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang bergerak membantu kempen PH selama dua minggu sebelum ini.

“Tahniah kepada calon dan tahniah kepada PH. Terima kasih kepada jentera BN, UMNO dan jentera di KKB, seluruh Selangor dan bahagian lain seluruh negara.

“Yang penting kejayaan ini adalah kejayaan disebabkan semangat kekitaan yang erat dalam kalangan parti-parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Sementara itu beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perpaduan antara parti-parti dalam kerajaan pada hari ini perlu terus diperkukuhkan agar terus kuat dan erat.

Sebagai rekod, calon PH, Pang Sock Tao berjaya mempertahanlan kerusi itu dalam persaingan empat penjuru di KKB.

Perikatan Nasional (PN) meletakkan Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) manakala Nyau Ke Xin calon Bebas.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast