Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

HULU SELANGOR – Sebanyak 12 laporan diterima sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu berlangsung.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dua tangkapan daripada kes itu dibuat dengan seorang pelaku telah didakwa atas kesalahan mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Setakat ini pengundi atau parti politik di sini tidak ada isu sensitif tercetus dan keadaannya terkawal. Kebanyakan anggota dan pegawai juga berpengalaman dalam menyusun atur dan memastikan ketenteraman kerana ini bukan kali pertama ada pilihan raya,” katanya selepas mengadakan lawatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor hari ini.

Terdahulu, beliau diiringi Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika tiba di IPD berkenaan sebelum meninjau beberapa pusat mengundi berhampiran.

Razarudin menambah, setakat ini pihaknya sudah mengeluarkan hampir 200 permit bagi kempen PRK berkenaan dan tiada yang dikenal pasti melanggar permit tersebut.

Jelasnya lagi, tiada pihak yang menyentuh isu 3R iaitu raja, kaum, agama sepanjang kempen berlangsung melainkan modal ceramah hanya berkisar soal pembangunan setempat.

Mengulas mengenai aduan berkaitan kes rasuah yang dikait dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, beliau memberitahu siasatan akan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

PRK Kuala Kubu Baharu hari ini menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan calon bebas susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong akibat kanser pada 21 Mac lalu. – MalaysiaGazette