Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan 40 warga asing selepas melakukan serbuan ke atas empat permis berasingan, masing-masing di dua rumah urut dan dua pusat karaoke di Pusat Bandar Seri Manjung, Lumut, malam tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 10 MEI 2024.

LUMUT – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan 40 warga asing selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan dalam empat serbuan iaitu masing-masing di dua rumah urut dan dua pusat karaoke di Pusat Bandar Seri Manjung, dekat sini, malam tadi.

Pengarah JIM Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, ia hasil pemeriksaan ke atas 82 warga asing dalam satu operasi yang bermula pada jam 11 malam Jumaat dan berakhir kira-kira tiga jam kemudian.

Katanya, hasil pemeriksaan juga mendapati mereka yang ditahan melakukan kesalahan seperti tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, berada dalam negara ini melebihi tempoh masa yang ditetapkan serta melanggar syarat pas.

“Mereka yang ditahan berusia antara 25 hingga 35 tahun terdiri daripada 33 perempuan dan tujuh lelaki termasuk dua warga tempatan.

“Selain itu, warga asing yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Vietnam, Myanmar, China dan Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan serbuan bersama JIM Ibu Pejabat di sebuah pusat karaoke di Pusat Bandar Seri Manjung, dekat sini, awal pagi Sabtu.

Menurut Meor Hezbullah, dalam serbuan di empat premis berkenaan, terdapat kesalahan berulang dengan salah satu pusat karaoke tersebut pernah diserbu lebih daripada dua kali sebelum ini atas kesalahan sama.

Justeru beliau memberitahu, pihaknya sedang mengesan pemilik ke atas empat premis berkenaan bagi siasatan lanjut.

“Pihak Imigresen akan memanjangkan perkara ini, kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memaklumkan tentang aktiviti sebenar dilakukan di premis ini bagi tindakan lanjut mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Meor Hezbullah berkata, hasil siasatan awal mendapati dua pusat karaoke berkenaan didapati menjalankan aktiviti pelacuran warga asing dengan tawaran bayaran dianggarkan sekitar RM250 hingga RM350 seorang.

Tambah beliau, sementara dua rumah urut yang diserbu turut menjalankan aktiviti tidak bermoral itu dengan kadar bayaran sekitar RM240 bagi setiap seorang tukang urut warga asing.

“Kesemua yang ditahan akan dibawa ke Depoh Sementara di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Meru Raya untuk siasatan lanjut,

“Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (c ) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Seksyen 6 (1) (c ) dan Seksyen 39 (b) akta sama,” ujar beliau. -MalaysiaGazette