Foto: JBPM

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam sawah padi di Jalan Teluk Malek, Kampung Pisang, Jitra, Kedah hari ini.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 tentang insiden tersebut pada jam 9.46 pagi.

Katanya, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan bersama tujuh anggota ke lokasi kejadian sebaik panggilan diterima.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Ahmad Munir Abdul Aziz berkata, sebaik tiba di lokasi mendapati sebuah kereta jenis Proton X50 telah terbabas dan terjunam ke dalam sawah padi.

“Pemandunya, seorang lelaki dewasa berusia anggaran 50an mengalami kecederaan parah akibat tersepit di dalam kenderaan itu,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Ahmad Munir, anggota bomba menjalankan kerja-kerja penyelamatan dengan menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa.

Tambah beliau, mangsa dibawa ke Hospital Jitra dengan menaiki kenderaan Unit EMRS bagi mendapatkan rawatan. – MalaysiaGazette