Tiga warga myanmar bersama tekong yang ditahan dengan bot nelayan tempatan bersama hasil tangkapan laut di perairan negara di Pahang semalam oleh Maritim Malaysia. Ihsan Maritim Pahang.

KUALA LUMPUR – Sebuah bot nelayan tempatan pukat tunda yang disyaki melanggar syarat lesen menangkap hasil laut ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, bot itu ditahan pada jam 1.45 petang dalam jarak 23 batu nautika dari Timur perairan Kuala Pahang.

Katanya, bot nelayan itu dikesan sedang bersauh ketika bot ronda maritim sedang menjalankan rondaan rutin Op Makmur dan Op Tiris.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan itu dikendalikan oleh seorang tekong bersama tiga kru warga Myanmar yang berumur antara 21 hingga 45 tahun selain menjumpai hasil laut anggaran lebih kurang 1,100 kilogram dalam bot tersebut.

“Semakan pasukan penguatkuasa mendapati, bot itu disyaki telah melanggar syarat sah lesen Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiga warga myanmar bersama tekong yang ditahan dengan bot nelayan tempatan bersama hasil tangkapan laut di perairan negara di Pahang semalam oleh Maritim Malaysia. Ihsan Maritim Pahang.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Kesemua kru bot nelayan itu serta hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan itu dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading untuk tindakan lanjut berlandaskan undang-undang negara,” katanya. – MalaysiaGazette