Pasukan DBKL memantau kadaan pokok besar tumbang akibat hujan lebat bersebelahan bangunan Menara Prestige, Jalan Pulau Pinang, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 13 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Sebanyak lima lokasi kejadian pokok tumbang di ibu negara akibat ribut dan hujan lebat petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima lima panggilan kecemasan berhubung insiden itu bermula pukul 4.50 petang sehingga 6.13 petang.

“Kejadian pokok tumbang melibatkan Jalan Rahmah, Taman Gembira yang menyebabkan lalu lintas terhalang.

“Manakala di Jalan Selesa 1 Taman Gembira di Jalan Kuchai Lama mengakibatkan bumbung rumah dihempap pokok tumbang, namun tidak membabitkan mangsa.

“Di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, pokok tumbang menghempap sebuah kereta. Di hadapan Menara British, Jalan Pinang, Kuala Lumpur, pula pokok tumbang menghempap lapan kenderaan iaitu tiga kereta dan lima motosikal,

“Lokasi terakhir di Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya apabila pokok tumbang menghempap sebuah kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, kawasan utama yang terjejas akibat kejadian pokok tumbang itu adalah di kawasan Taman Gembira dan Universiti Malaya.

Kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang dilakukan bersama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). – MalaysiaGazette