KAPIT, SARAWAK – Penduduk Rumah Panjang Nanga Engkuah menarik nafas lega apabila infrastruktur membabitkan tiga Rumah Panjang di perkampungan itu akan dinaik taraf menerusi Program Kampung Angkat Madani.

Tuai Rumah Nanga Engkuah, Assan Anak Munal, 68, berkata, pembinaan jambatan yang menghubungkan tiga buah Rumah Panjang iaitu Rumah Assan, Rumah Radiah dan Rumah Albert Lajong akan memudahkan urusan 658 penduduk.

Jelas beliau, jambatan sedia ada telah uzur serta membahayakan penduduk namun kita terpaksa menggunakannya kerana ia satu-satunya akses antara tiga Rumah Panjang di sini.

Assan Anak Munal. Foto AIZAT ZAINAL, 12 MEI 2024

“Malah, kebanyakan penduduk di sini sudah berusia jadi banyak kekangan kami hadapi tambahan pula pada waktu malam susulan tiada lampu jalan.

“Bagaimanapun, semua kekangan kami itu akan menemui titik noktah menerusi program Kampung Angkat Madani seperti mana diumumkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Kita amat berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan serta tidak lupa untuk membangunkan kawasan pedalaman khususnya di Nanga Engkuah,” katanya kepada pemberita di sini.

Bagi, Kulim Anak Madah, 38, pembangunan infrastruktur di Rumah Panjang Nanga Engkuah ini memberi manfaat kepada golongan muda untuk terus sama memajukan kawasan tersebut.

“Kita harap perancangan kerajaan menerusi Kampung Angkat Madani ini akan dipercepatkan  sekali gus memudahkan urusan penduduk di sini.

Kulim Anak Madah. Foto AIZAT ZAINAL, 12 MEI 2024

“Sebagai Ketua Biro Pembangunan Rumah Asan Nanga Engkuah dan anak jati sini kami amat berterima kasih kepada kerajaan atas pemilihan kampung angkat serta kemudahan yang akan dibina nanti,” katanya.

Sementara itu, Margaret Anak Kaya, 51, turut meluahkan rasa syukur dan terima kasih atas pengumuman kerajaan yang memperuntukan RM2.5 juta bagi penambahbaikan infrastruktur di kawasan tersebut.

Margaret Anak Kaya. Foto AIZAT ZAINAL, 12 MEI 2024

“Ketika ini kami sistem solar digunakan bagi barangan elektrik serta lampu dalam rumah dan tiga perkampungan ini akan bercahaya selepas ini dengan pemasangan lampu jalan.

“Pemasangan lampu jalan menggunakan sistem solar itu merupakan berita baik buat kami di sini kerana demi keselamatan diri, anak-anak serta ternakan khususnya pada waktu malam,” katanya.

Rumah Panjang Nanga Engkuah antara yang terpilih sebagai Kampung Angkat Madani dan kerajaan memperuntukan RM2.5 juta bagi penambahbaikan infrastruktur di kawasan tersebut.

Untuk rekod, Rumah Panjang Nanga Engkuah terletak kira-kira 50 kilometer dari Pekan Song dan ia mengambil masa enam jam untuk penjalan pergi dan pulang.

Pengangkutan sungai iaitu menaiki perahu menjadi satu-satunya akses ke perkampungan tersebut dari Pekan Song.

Majoriti penduduk kampung tersebut terdiri daripada etnik Iban dan ekonomi tempatan mereka adalah pekerja di sektor awam, swasta, pertanian, penternakan kecil-kecilan serta perikanan. – MalaysiaGazette