PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu bahawa terdapat keterangan yang menunjukkan 12 bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), memukul dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Timbalan Pendakwa Raya, Solehah Noratikah Ismail berhujah hakim Mahkamah Tinggi mensabitkan 12 perayu dan menjatuhkan hukuman penjara berdasarkan keterangan menyeluruh daripada dua saksi pendakwaan (SP24), Ahmad Senabil Mohamad dan SP25 Mohd Syafiq Abdullah.

“Ada keterangan melimpah ruah bahawa kesemua perayu memukul dan menyebabkan kecederaan ke atas si mati (Zulfarhan), serta pemerasan dilakukan oleh mereka bagi mendapatkan pengakuannya berhubung kehilangan komputer riba.

“Hakim bicara juga mendapati tiada percanggahan material dalam keterangan kedua-dua saksi ini,” katanya yang berhujah dalam rayuan silang pendakwaan terhadap hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2 November 2021.

Beliau memohon agar hukuman penjara tiga tahun itu dinaikkan kepada tujuh tahun, supaya hukuman yang tinggi itu sebagai amaran bukan hanya kepada pesalah namun rakan-rakan pesalah.

“Kes seperti ini biasa berlaku bukan sahaja di universiti malah di asrama. Perayu adalah orang bijak pandai yang mempunyai IQ (kecerdasan intelektual), tetapi tidak mempunyai EQ (kecerdasan emosi),” katanya.

Mengenai isu dibangkitkan oleh peguam mengapa SP24 dan SP25 tidak menghalang insiden berkenaan, Solehah Noratikah berkata, kedua-dua saksi menerusi keterangan mereka menyatakan mereka takut akan diperlakukan seperti Zulfarhan, jika menghalang perbuatan kesemua perayu.

Sementara itu, peguam A.G. Kalidas berhujah pihak pendakwaan gagal membuktikan niat bersama yang menjurus kepada bukti, bahawa perayu merupakan rakan sejenayah dan terlibat memukul mangsa.

Menurut Kalidas, adalah sukar untuk membuktikan bahawa kesemuanya mengambil bahagian memukul Zulfarhan, kerana ketika kejadian terdapat hampir 50 penuntut mendiami asrama penginapan tempat kejadian berlaku.

Beliau berkata, mahkamah harus memberi pertimbangan dan menentukan sama ada mereka benar-benar rakan sejenayah, kerana sejumlah 32 orang daripadanya ditahan dan direman, yang mana sebahagian daripada mereka menjadi saksi pendakwaan.

“Adalah sukar untuk memastikan individu mana yang mengambil bahagian dan mana yang tidak terlibat. Perlu dipertimbangkan bahawa kejadian berlaku dalam kampus universiti. Saya bukan bermaksud bahawa pemerasan dan buli harus dibenarkan, namun wujud kecenderungan terhadap ikatan persahabatan yang kuat, sesetengahnya akan dipulau jika tidak mengikut rentak.

“Rakan-rakan akan melakukan pelbagai perkara dan jika kamu tidak mengendahkannya, kamu akan kehilangan sebuah persahabatan,” kata peguam itu dan menambah pendakwaan juga gagal mengemukakan kasut sukan yang didakwa digunakan untuk mencederakan Zulfarhan.

Kalidas juga berhujah kewujudan komputer riba yang didakwa dicuri oleh Zulfarhan tidak dibuktikan, kerana peralatan itu serta resit pembelian tidak dikemukakan ketika perbicaraan.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim berkata, terdapat keterangan menyatakan mangsa dipukul, selepas dituduh mencuri komputer riba.

“Soalan munasabah yang akan ditanya mengapa budak ini dipukul. Jadi ceritanya mesti dikaitkan dengan isu komputer riba yang hilang. Mustahil kamu (pembelaan) harap mahkamah akan percaya bahawa tiada motif mengapa dia dipukul,” kata Hadhariah yang turut bersidang bersama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Rayuan itu bersambung esok.

Pada awal prosiding, lima bekas penuntut universiti iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Abdoul Hakeem Mohd Ali, yang kesemuanya berumur 28 tahun, menarik balik rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun kerana mencederakan Zulfarhan.

Bagaimanapun, kelima-lima perayu itu bersama seorang lagi rakan mereka Mohamad Shobirin Sabri, masih menjalani hukuman penjara 18 tahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 2 November 2021 atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh Zulfarhan.

Sementara itu, 12 lagi bekas penuntut universiti itu yang dijatuhkan hukuman sama kerana mencederakan Zulfarhan, tidak menarik balik rayuan mereka.

Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Kesemua mereka yang kini berusia 28 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 21 Mei 2017 dan 22 Mei 2017. Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. – Bernama