Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 bersama warga kementerian Perladagangan dan Komoditi di Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 26 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kerajaan Perpaduan akan menyerahkan draf memorandum persefahaman (MoU) kepada Perikatan Nasional (PN) berhubung berkaitan penyaluran peruntukan bila siap kelak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, draf itu akan segera diberikan kepada semua Ahli Parlimen pembangkang untuk diluluskan.

“Perjanjian ini sedang dimuktamadkan. Tapi saya tidak tahu di peringkat pembangkang sebab ada yang kata tidak perlu ada perjanjian dan ada yang mahu.

“Saya pun tidak tahu (bila akan siap) dan kita akan siapkan draf itu dan beri kepada mereka untuk diluluskan,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) pertama yang dibuat di bangunan Perdana Putra, hari ini.

Fadillah turut menambah, antara fokus dalam draf perjanjian tersebut adalah langkah untuk membangunkan ekonomi dan mengelak perpecahan termasuk isu 3R (raja, agama dan bangsa).

“Kita tengah muktamadkan tapi saya sudah bagi gambaran apa kandungannya pertama untuk kita fokus supaya ahli Parlimen ini melihat kepada bagaimana kita nak bangunkan ekonomi negara dan pulihkan untuk pastikan kestabilan.

“Ia supaya kita dapat menarik seramai mungkin pelancong dan mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan perpecahan 3R dan sebagainya. Ini yang telah tengah difokuskan,” katanya lagi.

Ahli-ahli Parlimen PN sebelum ini mendesak draf memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan segera dibentangkan kepada mereka.

Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin berkata, sehingga hari ini tiada sebarang pertemuan dibuat bersama Fadillah berhubung perkara itu meskipun dikatakan MoU berkenaan telah siap dan menunggu masa sahaja untuk dibentangkan.

Sebelum ini, Ketua Sekretariat Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Kerajaan Perpaduan, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, MoU berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang sudah siap dan terpulang kepada Timbalan Perdana Menteri untuk membincangkannya dengan pihak berkaitan.

Jelasnya, peranan tersebut telah diputuskan untuk diberi kepada Fadillah dan pembangkang hanya perlu menunggu untuk dipanggil berbincang membabitkan perkara itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast