MUMBAI – Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan kira-kira 60 lagi cedera selepas papan iklan gergasi tumbang semasa ribut melanda di bandar Mumbai, India, hari Isnin.

Papan iklan itu berukuran 70 meter x 50 meter jatuh menimpa kediaman dan stesen minyak.

Kira-kira 20 hingga 30 orang masih dikhuatiri terperangkap dan pihak berkuasa sedang melaksanakan operasi menyelamat.

Papan iklan itu tumbang selepas hujan dan ribut melanda bandar Mumbai, yang turut menumbangkan pokok dan menyebabkan gangguan perjalanan dan bekalan elektrik terputus.

Rakaman di saluran berita tempatan menunjukkan papan iklan besar bergoyang ketika ditiup angin sebelum jatuh dan menimpa bangunan berhampiran jalan sibuk di pinggir timur Ghatkopar di bandar itu.

Video yang disiarkan di media sosial menunjukkan stesen minyak, kediaman dan kenderaan remuk di bawah papan iklan yang tumbang.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di X, Perbadanan Perbandaran Brihanmumbai berkata: “Angin kencang” menyebabkan keruntuhan dan beberapa agensi termasuk polis, bomba dan pasukan sedang melakukan operasi menyelamat.

Dalam pada itu, rebut tersebut turut menyebabkan penerbangan digantung sementara di lapangan terbang antarabangsa dan sekurang-kurangnya 15 pesawat dialihkan, lapor media tempatan.

Mumbai adalah salah satu daripada beberapa bandar di India yang terdedah kepada banjir teruk dan kejadian berkaitan hujan semasa musim tengkujuh – yang biasanya antara Jun dan September. – Agensi