KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal cedera akibat dihimpit sebuah kereta selepas mangsa memukul cermin sisi kenderaan itu di Lebuhraya Sprint, semalam

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintenden Suffian Abdullah berkata, dalam kejadian jam 8.30 pagi sebuah kereta Tesla secara tiba-tiba menukar haluan dari lorong tengah ke lorong kanan menyebabkan penunggang motosikal terhimpit ke kanan jalan.

“Berang dengan tindakan pemandu kereta itu, penunggang motosikal yang merupakan lelaki berusia 25 tahun telah bertindak memukul cermin sisi sebelah kanan kereta tersebut dengan tangan.

“Akibat kejadian itu, pemandu Tesla itu telah bertindak menghimpit penunggang motosikal ke bahu jalan sehingga terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Suffian, penunggang motosikal mengalami kecederaan luka di tangan, lutut dan kaki dan beliau mendapat rawatan di klinik berdekatan.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat ke atas pemandu itu sebaliknya polis selesai mengambil rakaman percakapan kedua-dua pemandu dan penunggang itu disusuli tindakan melengkapkan siasatan dengan membawa kedua-dua kenderaan itu ke jabatan kimia,” ujarnya.

Jelas Suffian, kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya dengan cadangan menuduh pemandu kereta itu. – MalaysiaGazette