Ibu-ibu bayi, Siti Fatimah Ahmad (kiri), Nur Eiza Syafinaz Adnan (dua kiri), Siti Nur Aisyah Atiqah Bakaruddin (dua kanan) dan Nur Syaairah Norzan (kanan) bergambar bersama bayi-bayi tahun baru 2020 yang dilahirkan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Kuala Lumpur (HKL). foto IQBAL BASRI, 01 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Hukum menyambut Hari Ibu adalah dibenarkan dan tidak bercanggah dengan syarak kerana ia bukan termasuk dalam perayaan keagamaan.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah berkata, sambutan itu bagi memuliakan seorang insan yang bergelar ibu serta menzahirkan penghargaan atas segala jasa dan pengorbanan yang dilakukan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.

Katanya, sambutan Hari Ibu pada zaman kini tiada kaitan dengan agama sebaliknya ia sekadar adat.

“Hukum sambutan Hari Ibu adalah dibenarkan dan tidak bercanggah dengan syarak kerana ia bukan termasuk dalam perayaan keagamaan.

“Seiring dengan perubahan masa, sambutan ini tidak lagi dilaksanakan untuk memperingati para dewi, bahkan semata-mata disambut bagi memuliakan seorang insan yang bergelar ibu serta menzahirkan penghargaan kepadanya atas segala jasa dan pengorbanan yang dilakukan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.

“Namun begitu, amalan menghargai jasa dan pengorbanan ibu ini tidak terhad pada masa atau tarikh tertentu, malah kewajipannya berpanjangan dan berkekalan sebagaimana yang telah dititikberatkan dalam al-Quran dan Sunnah Nabi SAW,” katanya.

Luqman menjawab persoalan hukum seorang Muslim menyambut perayaan tersebut sama ada dianggap menyerupai golongan kafir.

Menurutnya, Islam memandang tinggi akan darjat dan kemuliaan ibu bapa.

Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis menegaskan tentang kewajipan memuliakan dan berbakti terhadap ibu bapa.

“Allah SWT mengkhususkan perbuatan berbuat baik kepada ibu kerana mereka merupakan golongan banyak melakukan kebajikan, golongan yang lemah dan lebih memerlukan penjagaan dan perhatian.

“Ini sepertimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis di mana Rasulullah SAW bersabda bahawa seorang ibu berhak mendapat layanan kebaikan tiga kali ganda lebih daripada seorang bap,” jelasnya.

Menurut Lukman, terdapat dua pandangan menyambut Hari Ibu iaitu pertama haram jika penglibatan umat Islam dalam apa-apa perayaan yang menyerupai agama lain adalah dilarang menurut syarak.

Kedua harus seperti menurut Jabatan Fatwa Jordan, sekiranya yang dimaksudkan oleh ‘Hari Ibu’ apabila mereka menghargai ibu masing-masing dan menghadiahkan ibu dengan hadiah maka ia bukanlah termasuk dalam istilah perayaan.

“Memuliakan ibu pada hari tersebut dalam pengertian ini adalah suatu adat kebiasaan yang tidak bercanggah dengan syarak yang menekankan kepentingan mensyukuri dan menghargai ibu bapa tanpa mengira masa dan tempat.

“Memuliakan ibu pada Hari Ibu bukanlah dianggap satu tasyabbuh yang dilarang kerana sambutan ini tidak melibatkan upacara-upacara khusus dalam agama lain yang bertentangan dengan akidah Islam.Syeikh al-Tibiy menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan tasyabbuh yang haram adalah meniru syiar agama orang kafir,” jelasnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast