KUALA LUMPUR – Sebanyak 174 lawatan ke tapak binaan di seluruh Wilayah Persekutuan telah dilakukan dalam usaha memantau aktiviti pembinaan agar menepati piawaian yang ditetapkan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, menerusi lawatan itu sebanyak 91 kertas siasatan dibuka atas kesalahaan tertentu dan akan diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
“Setakat ini ada 174 lawatan tapak sudah dibuat oleh CIDB Wilayah Persekutuan. Kertas siasatan dibuka 91 (kes) untuk CIDB wilayah Persekutuan sahaja untuk tahun ini.
“Setakat ini belum lagi (rujuk ke mahkamah), kertas siasatan dibuka dan dihantar kepada TPR (Timbalan Pendakwa Raya) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita menyertai operasi mengejut CIDB bersama beberapa agensi penguatkuasa di sebuah tapak pembinaan menara berkembar di Jalan Tun Razak, di sini, hari ini.
Turut sama dalam operasi mengejut itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB, Mohd Zaid Zakaria.
Mengulas mengenai operasi berkenaan, Alexander berkata, terdapat dua kesalahan yang dilakukan iaitu membiarkan jentik-jentik di tempat takungan yang ditemui hingga dilapor menyebabkan berlakunya kes demam denggi melibatkan penduduk berdekatan.
Kesalahan kedua pula katanya, pemaju bangunan menggunakan perancah yang tidak sesuai untuk dan boleh mendatangkan bahaya kepada pekerja binaan.
“Pihak lain yang turut serta dalam operasi ini memang masing-masing mendapati ada kesalahan dan tindakan selanjutnya terpulang kepada mereka sama ada dikompaun, diberi amaran atau dihadapkan ke mahkamah. Tindakan dikenakan berbeza.
“Diharapkan kami sebagai satu pasukan begini, turun padang dan saya mahu CIDB buat operasi selalu supaya kita boleh hantar mesej kepada pemain industri untuk patuh kepada semua peraturan dan undang-undang,” ujarnya.
Operasi tersebut turut disertai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kesihatan Negeri WPKL, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), CIDB Technologies Sdn. Bhd., Akademi Binaan Malaysia,Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Sementara itu, Mohd Zaid berkata, penggunaan besi perancah jenis A Frame (Pre-fabricated steel frame scaffolding) dikuatkuasakan CIDB sejak dua tahun lepas sebagai laluan yang selamat bagi kegunaan pekerja dan terlindung daripada jatuhnya bahan atau alat di tapak pembinaan.
“Kita melihat ada kualiti perancah ini sudah merosot dan berkarat kerana digunakan berulang kali yang boleh menyebabkan besi itu patah dan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa apabila ia tidak mampu menampung beban konkrit.
“Mereka (kontraktor) perlu menggunakan jenis Tubular yang lebih kuat dan mendapat pengiktirafan standard Malaysia,” katanya.
Terdahulu pada operasi tersebut, sebanyak 13 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk ditutup susulan dikenal pasti menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes. – MalaysiaGazette