Vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu penarikan balik vaksin Covid-19 keluaran firma gergasi biofarmaseutikal Britain-Sweden, AstraZeneca.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kenyataan rasmi itu akan dikeluarkan pejabat Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

“Kita sudah ada jawapan, akan dijawab dan diedarkan dalam kenyataan media,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program e Findings National Health & Morbidity Survey (NHMS) 2023: Non-Communicable Diseases & Healthcare Demand and Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023 di KKM, hari ini.

Minggu lalu Dzulkefly berkata,  pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu penarikan balik vaksin Covid-19 AstraZeneca dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Agensi Ubat Eropah (EMA) dalam kenyataan awamnya pada 27 Mac 2024 memaklumkan Suruhanjaya Eropah (EC) menarik balik kebenaran pemasaran untuk vaksin dinamakan Vaxzevria, keluaran AstraZeneca di Kesatuan Eropah (EU) pada tarikh yang sama.

Menurut EMA, penarikan balik itu adalah atas permintaan AstraZeneca AB yang memberitahu keputusannya untuk menghentikan pemasaran produk itu secara kekal atas sebab-sebab komersial.

Vaxzevria telah diberikan kebenaran pemasaran bersyarat di EU pada 29 Januari 2021, untuk imunisasi aktif terhadap Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast