Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mempelawa permohonan untuk kohort kedua Program Kepimpinan investED, sebuah program siswazah pasaran modal,
investED bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memastikan saluran bakat yang mampan untuk industri pasaran modal.

Ia telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun 2023.

Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan pasaran modal bagi seramai 9,000 pelajar universiti serta menyediakan pekerjaan dalam industri pasaran modal
kepada sehingga 600 graduan antara tahun 2023 dan 2025.

Program tiga tahun yang diterajui oleh SC dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan Tingg telah menarik kira-kira 2,500 permohonan untuk kohort pertamanya pada tahun lepas.

Pelatih Kohort 1 akan menamatkan pengajian dari program tersebut pada 27 Mei 2024.

Sebahagian daripada mereka telah diambil bekerja oleh beberapa bank pelaburan dan pemain pasaran modal.

Program Kepimpinan investED terdiri daripada latihan kelas komprehensif selama sebulan, memberi fokus pada topik Pasaran Modal, Kepimpinan, Kemampanan dan Tadbir Urus di Asia School of Business, diikuti dengan latihan sambil kerja selama enam bulan dengan rakan kongsi investED daripada industri pasaran modal.

Selain berpotensi untuk membina kerjaya dalam industri pasaran modal, pelatih juga menerima elaun bulanan sebanyak RM2,400 sepanjang tempoh latihan.

Syarat-syarat untuk layak menyertai program ialah warganegara Malaysia; • Calon yang layak termasuk pelajar tahun akhir atau graduan baru; PNGK minimum 3.0 diperlukan; Pemohon mesti mencapai skor Band minimum 3.5 dalam Malaysian University English Test (MUET) atau sekurang-kurangnya 6.0 dalam International English Language Testing System (IELTS) atau mana-mana yang setara dalam ujian kemahiran bahasa Inggeris.

Tarikh akhir permohonan ditetapkan pada 30 Jun 2024 ini dan boleh dikemukakan melalui www.invested.my. – MalaysiaGazette