ISU yang sedang tular dan hangat diperkatakan di sosial media sekarang berkaitan bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim mencadangkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu membuka peluang kepada bukan bumiputera menarik perhatian masyarakat bumiputera lebih-lebih lagi pelajar universiti di institusi pengajian tersebut. Berdasarkan akhbar, “Buka UiTM kepada bukan bumiputera akan bantu bumiputera – Zaid” (MalaysiaKini, 3 Mei), beliau berkata membantu bukan Melayu masuk ke UiTM juga akan membantu bumiputera dengan menyelesaikan masalah negara.
Perkara ini pernah dibahas pada tahun 2023, di dalam artikel “UiTM untuk bumiputera selagi Artikel 153 wujud” (Kosmo, 2 Julai). Di dalam artikel tersebut ada menyatakan bahawa UiTM akan terus dipertahankan sebagai Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak selagi Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia wujud. Walaubagaimanapun, perkara ini tetap menjadi satu isu yang akan berbangkit pada setiap tahun.
Seperti yang kita tahu, sejarah penubuhan UiTM secara dasarnya adalah sememangnya untuk bumiputera dan bukannya untuk orang bukan bumiputera. Status istimewa orang Melayu telah ditunjukkan dengan jelas dalam dua dokumen penting iaitu Perkara 19 Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan memorandum Raja-Raja Melayu kepada Suruhanjaya Reid, yang mencakup empat topik, tanah rizab Melayu, penempatan orang Melayu di institusi awam, pendidikan, dan ekonomi.
Cadangan yang diberikan oleh Zaid menjadi bualan mulut masyarakat terutamanya mahasiswa/i universiti selepas isu ini sekali lagi dibangkitkan. Perkara ini jelas dilihat melalui beberapa tajuk akhbar, “Tiada perbincangan perluas program pasca siswazah UiTM kepada bukan bumiputera” (BH, 2 Mei), “Jangan sentuh hak istimewa UiTM untuk Melayu, bumiputera” (Kosmo, 3 Mei) dan “Usah diganggu- gugat status dan kedudukan UiTM” (SH, 7 Mei). Kebanyakan dari mereka yang membahas isu ini sama sekali tidak setuju dengan cadangan yang diberikan oleh Zaid kerana perubahan tersebut akan mengganggu status dan kedudukan institusi tersebut.
Saya bersetuju bahawa cadangan kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM akan menggugat status dan kestabilan institusi tersebut. Melihat dari sejarah penubuhan UiTM sendiri, UiTM adalah untuk bumiputera dan apabila haknya diambil oleh orang bukan bumiputera adakah UiTM masih lagi istimewa untuk orang-orang Melayu seperti objektif penubuhannya sebelum ini? Apakah yang akan jadi kepada anak-anak Melayu pada masa hadapan yang tidak mampu sekiranya orang bukan bumiputera mengambil hak tersebut?
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM juga telah mengeluarkan maklum balas berkaitan isu ini di dalam media sosial, TikTok, mereka sebulat suara tidak menyokong atau membantah cadangan tersebut kerana mementingkan nilai atau prinsip UiTM itu sendiri untuk mahasiswa Melayu dan juga bumiputera. Mereka menegaskan kepada semua mahasiswa dan masyarakat perlu meneliti dan membaca Akta 173 dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan untuk memahami lebih mendalam berkenaan matlamat penubuhan itu sendiri dan sebab kenapa mereka tidak bersetuju untuk membuka peluang atau kuota kepada orang bukan bumiputera.
Perkara ini seharusnya tidak lagi perlu dibahaskan namun setiap tahun pasti akan diperkatakan. Buktinya, pada tahun 2019, pernah dibahaskan dalam satu artikel “UiTM sebagai “hak orang Melayu” tidak tepat” (Astro Awani, 15 Januari). Di dalam artikel tersebut, Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub menegaskan, tujuan asal penubuhan institusi itu lebih 60 tahun lalu adalah untuk membantu golongan Melayu dan bumiputera yang miskin dan ketinggalan pada masa itu tetapi keadaan kini sudah berubah.
Walaupun keadaan sudah berubah, tetapi tidak dapat dinafikan tahap kemiskinan bumiputera masih lagi tinggi di negara kita. Isu ini boleh dilihat di dalam artikel “Kadar kemiskinan bumiputera lebih tinggi” (SH, 9 Julai), yang ada menyatakan berbanding dengan Cina dan India, populasi bumiputera Malaysia lebih miskin. Profesor Madya Dr. Madeline Berma, seorang analis ekonomi, menyatakan bahwa kadar kemiskinan lebih tinggi dalam kalangan bumiputera daripada di kalangan penduduk asli Sabah dan Sarawak. Beliau menyatakan bahwa temuan tersebut diperoleh melalui penggunaan kedua pendekatan, iaitu garis kemiskinan (PLI) dan indeks pelbagai dimensi (DMI), untuk mengukur kadar kemiskinan.
Perkara ini seharusnya di lihat dengan lebih mendalam daripada pelbagai aspek. Kerajaan tidak boleh mengabaikan keistimewaan dan hak-hak orang Melayu di negara ini. Kita perlu menghargai dan menghormati peranan institusi ini untuk bumiputera dan betapa dekatnya ia dengan orang Melayu. Kita perlu melihat impak positifnya dalam jangka masa yang Panjang dan kesannya kepada anak-anak kita yang akan menjadi pelapis negara akan datang. Sebagai seorang mahasiswa dan orang Melayu, kita perlu mempertahankan prinsip dan hak kita sebagai orang Melayu dan bumiputera di negara ini.
Nur Khadijah Antasha Abd Rashid
Pelajar Sarjana Muda Kewartawanan
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia
Bila dah berjaya mereka lupa dan tak sokong UMNO pun. Hutang MARA tak nak bayar.