Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar. Foto WAN NABIL NASIR, 08 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) yakin kredibiliti polis dalam menyelesaikan kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang mengorbankan dua anggota keselamatan negara.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar percaya keamanan di Malaysia akan kekal terpelihara walaupun wujud ancaman dari pelbagai arah ke atas negara.

“Negara pernah diuji dengan kes al-Maunah di Bukit Jenalik, Perak pada 2 Julai 2000 dan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Felda Sahabat Lahad Datu, Sabah pada Februari 2013.

“Namun semua kes besar ini dapat diselesaikan dengan cukup sempurna oleh pasukan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, dua anggota polis dari dilaporkan terbunuh, seorang lagi cedera manakala suspek yang bertopeng, berpakaian gelap dan bersenjatakan parang ketika menceroboh masuk balai polis berkenaan ditembak mati di lokasi dalam serangan pukul 2.54 pagi hari ini.

Dalam pada itu, G57 memuji tindakan polis meluaskan kawalan keselamatan ke atas pemimpin tertinggi khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Raja-Raja Melayu di negara ini.

“Pemimpin tertinggi negeri yang mempunyai sejarah pernah diceroboh pengganas khususnya Sabah juga perlu diberi perhatian,” katanya.

Katanya lagi, insiden tembakan ke atas Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico jelas menunjukkan kawalan keselamatan ke atas pimpinan tertinggi negara dan negeri tidak boleh dipandang ringan oleh anggota keselamatan negara.

“G57 berharap pihak berkuasa dalam meluaskan kawasan keselamatan ke Sabah khususnya membabitkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan pemimpin berprofil tinggi termasuk bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman,” katanya lagi. – MalaysiaGazette