TANJUNG MALIM – Seorang pemandu lori muatan telur ayam maut selepas kenderaan dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan dua buah lori yang membawa buah-buahan di KM367 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Slim River, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superitendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, makluman kemalangan yang berlaku dari arah Sungkai menghala ke Slim River itu diterima pihaknya sekitar jam 5.45 pagi.
Menurut beliau, kemalangan yang melibatkan tiga buah lori perdagangan itu turut menyebabkan aliran trafik di lebuh raya berkenaan terhenti sepanjang 13 kilometer (KM).
“Sebuah lori telah melintang jalan dan semua lorong terhalang sehingga menyebabkan aliran trafik terhenti 13km.
“Sehubungan dengan itu, pengguna jalan raya yang menggunakan laluan ini dinasihatkan untuk keluar di Plaza Tol Tapah, Bidor atau Sungai sbeagai laluan alternatif,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 4.40 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan bantuan BBP Bidor, dikejarkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata setibanya di lokasi kejadian didapati kemalangan melibatkan tiga buah lori iaitu lori muatan telur ayam serta dua buah lagi lori muatan buah-buahan.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan tiga buah lori iaitu lori muatan telur satu tan dan dua buah lori muatan buah-buahan masing-masing tiga dan 10 tan.
“Ketiga-tiga lori ini telah berlanggar lalu terbalik merintangi dan menutup sepenuhnya lebuh raya PLUS ke arah selatan dan terdapat seorang mangsa tersepit pada lori muatan telur ayam,” katanya.
Sabarodzi berkata, mangsa yang tersepit dalam lori muatan telur ayam disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di lokasi kejadian, manakala dua lagi pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan dan tidak cedera.
“Mangsa tersepit berjaya dikeluarkan dan disahkan maut oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. -MalaysiaGazette