KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menyiasat secara menyeluruh berhubung isu kekurangan doktor dan petugas kesihatan di hospital-hospital kerajaan ketika ini.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr Adnan Mat berkata, kejadian tular memaparkan gambar papan putih di sebuah fasiliti kesihatan yang memohon maaf dan memaklumkan mengenai kekurangan doktor bukan suatu perkara yang boleh dipandang ringan.
Katanya, ia membabitkan isu kebajikan petugas kesihatan sendiri serta kemampuan fasiliti kesihatan negara dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Kita pernah menghadapi situasi di mana penularan Covid-19 sebelum ini hampir melumpuhkan sepenuhnya fasiliti kesihatan negara.
“Pengalaman itu sewajarnya jadi pengajaran kepada kerajaan untuk memperkukuh lagi mobilisasi sumber tenaga petugas kesihatan pelbagai peringkat bagi mengelak fasiliti kesihatan terpaksa beroperasi tanpa petugas mencukupi sehingga ada dikerah bertugas lebih masa demi menampung kekurangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adnan berkata, CUEPACS tidak mahu isu kebajikan petugas kesihatan diabaikan dalam memastikan perkhidmatan kesihatan berjalan seperti biasa.
“Mereka ini tetap manusia yang memerlukan rehat mencukupi, melakukan aktiviti sosial yang sihat dan mempunyai keluarga yang perlu diberi perhatian juga.
“CUEPACS menyeru semua ketua jabatan memainkan peranan penting termasuk menyelesaikan aduan kakitangan sebaik mungkin dalam perkara mengatasi kekurangan petugas kesihatan.
“Sekiranya ketua jabatan tidak dapat menyelesaikannya, salurkan isu tersebut kepada pihak atasan di Kementerian Kesihatan termasuk mengutamakan pengisian jawatan secara segera jika berlaku kekurangan kakitangan,” ujarnya.
Tambah beliau, sudah tiba masa pihak atasan mengambil serius pandangan disuarakan kesatuan atau wakil kakitangan kerana hal kebajikan petugas barisan hadapan tidak boleh dipandang sebelah mata.
Katanya lagi, isu berkaitan kekurangan tenaga kerja, kemudahan asas di fasiliti bertugas tidak wajar dianggap remeh kerana ia memberi kesan tidak baik kepada keseluruhan perkhidmatan kesihatan negara.
“Dalam masa sama CUEPACS berharap Kementerian Kesihatan tidak mengambil sebarang tindakan kepada petugas kesihatan yang menulis nota di papan putih tersebut.
“Perkara itu perlu ditangani dengan positif oleh Kementerian Kesihatan tanpa mengabaikan keluh kesah yang diutarakan demi memastikan kebajikan penjawat awam tetap diutamakan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
Doktor mana nak kerja kat hospital kerajaan…gaji rendah dan tak ada pencen plak tu..baik kerja hospital swasta…