Pengarah Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menunujukkan contoh pautan scammer pada Sidang Media mengenai kejayaan Jenayah Komersial di Aras 36, Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 17 MEI 2024

KUALA LUMPUR – Tak cukup ditipu sekali, seorang pesara yang berhasrat untuk mendapatkan semula wang dilaburkannya pada Februari lalu berputih mata buat kali kedua.

Ia kerana mangsa sekali lagi dipedaya sindiket sehingga terpaksa kehilangan wang sebanyak RM619,390.80.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada mangsa pada 12 Mei lalu.

Katanya, mangsa merupakan seorang wanita berumur 56 tahun itu mendakwa menerima emel daripada sebuah syarikat yang menawarkan untuk mendapatkan semula wang dilaburkannya pada 2020.

“Mangsa setuju dengan tawaran diberikan sebelum diminta membuat bayaran dan melakukan beberapa kali transaksi bagi memulakan proses mendapatkan semula wang berkenaan.

“Namun mangsa gagal mengeluarkan wang pelaburan tersebut dan mengalami kerugian sebanyak USD4,000,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media perkembangan kes jenayah komersial di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di Menara KPJ Jalan Tun Razak hari ini.

Tambah Ramli, mangsa turut berminat dengan skim pelaburan kripto yang ditawarkan oleh kumpulan sama yang menjanjikan nilai keuntungan sebanyak 35 hingga 50 peratus sebulan berdasarkan jumlah pelaburan yang dibuat.

Menurutnya, mangsa melakukan sebanyak 28 transaksi ke dalam tujuh akaun bank yang berbeza dengan membabitkan nilai wang keseluruhan berjumlah RM619,390.80.

“Bagaimanapun sehingga kini, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan atau mendapat semula wang pelaburan kripto yang dijanjikan sindiket sekaligus menjadi mangsa penipuan.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu,” tegasnya. – MalaysiaGazette