Ibu Pinjaman ditayang sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada 17 Jun ini

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada 17 Jun ini, syarikat penerbitan Dream At Work Sdn. Bhd. membawakan telefilem khas berjudul Ibu Pinjaman yang ditayangkan di saluran Astro RIA dan Astro Oasis.

Karya yang yang akan ditayangkan menampilkan barisan pelakon hebat seperti Wan Maimunah, Bell Ngasri, Hasnul Rahmat, Sherie Merlis, Amanda Misbun, Zalif Sidek dan Rahim Jailani.

Tidak ketinggalan Adik Qisya Hairulzain dan dibantu oleh Linda Soh, Shukri Tahir dan Afiq Aris.

Penerbit dan Pengarah Dream At Work Sdn. Bhd Datuk. Razlan Ismail berkata, telefilem Ibu Pinjaman dinspirasikan daripada kisah benar Ustaz Abdullah Muda.

Bell Ngasri.

“Telefilem ini mengisahkan konflik jiwa dua insan bernama Rizal dan Mak Cik Rokiah. Rizal, seorang lelaki yang sudah lama dahagakan kasih sayang seorang ibu, sering berasa kesunyian dan kekosongan dalam hidupnya.

“Di satu sisi lain, Mak Cik Rokiah, seorang wanita tua yang hatinya hancur merindukan anak kandungnya. Dia menjalani hari-hari yang penuh kesepian.

“Kisah ini menyentuh hati apabila kedua-dua insan ini bertemu dan cuba mengisi kekosongan dalam hati masing-masing dengan kasih sayang yang terpendam,” katanya.

Menurutnya, lebih bermakna apabila telefilem itu bersiaran pada Hari Raya Aidiladha, hari yang penuh dengan makna pengorbanan dan kasih sayang.

Menariknya lagi, pelakon utama Ibu Pinjaman iaitu Wan Maimunah kini sedang mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci sekaligus telefilem ini turut membawa kesan dan keistimewaannya yang tersendiri.

Lakonan mantap Wan Maimunah.

“Ibu Pinjaman menjanjikan sebuah pengalaman emosi yang mendalam dengan kisah penuh kerinduan dan kasih sayang serta pengorbanan.

“Dibarisi pelakon yang hebat, cerita ini pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam di hati setiap penonton,” katanya.

Telefilem yang mendapat sentuhan M. Razlan yang juga bertindak sebagai penerbit bersama Irfan Hasan selaku Penerbit Eksekutif.

Dream At Work Sdn Bhd diberikan kepercayaan untuk menerbitkan telefilem ini bagi saluran Astro RIA di bawah naungan Penerbit Eksekutif Astro, Abdul Adzim Shahabudin. – MalaysiaGazette

Dream At Work Sdn Bhd diberikan kepercayaan untuk menerbitkan Ibu Pinjaman.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast