Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dirinya telah memfitnah plaintif (syarikat E Advance Tech Sdn Bhd) yang mengimport telur ke Malaysia dari India.

Hari ini ketika prosiding, Mohamed Azmin yang juga bekas menteri mendedahkan beliau hanya sekadar menyoal bagaimana syarikat itu sahaja telah diberikan keistimewaan untuk mengimport telur ke negara ini.

Malah ketika memberikan keterangannya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Leong Wai Hong.

Mohamed Azmin bertanya mengenai gambar tular Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan ahli perniagaan, Deepak Jaikishan yang terbang ke India bersama-sama.

Dakwa bekas Menteri Besar Selangor itu, beliau bertanya apakah penglibatan Deepak dalam mendapatkan kontrak rundingan terus dengan kerajaan untuk syarikat abangnya iaitu J&E Advance Tech bagi tujuan mengimport telur.

“Menteri dan Deepak tidak pernah membuat apa-apa penafian tentang soalan saya berkaitan peranan Deepak dalam mendapatkan kontrak rundingan terus dengan kerajaan. Kebetulan pula gambar itu tular selepas penjelasan menteri berkaitan pemberian kontrak itu di Parlimen.

“Apabila saya bercakap dalam satu perhimpunan, ia berbentuk soalan. Deepak dan menteri ambil penerbangan yang sama ke destinasi sama, duduk sebelah sebelah. Naik buggy yang sama. Gambar ini sukar disangkal.

“Soalan saya itu lebih kepada kepentingan rakyat kerana kontrak ini juga melibatkan wang cukai dibayar oleh rakyat. Apabila rundingan terus diberikan kita juga mempunyai persoalan apakah keistimewaan termasuklah pengecualian cukai dan sebagainya,” katanya hari ini.

Mohamed Azmin berkata demikian memberikan keterangan sebagai saksi dalam saman fitnah terhadapnya yang dibawa oleh J&E dan pengurus besarnya Rajesh Jaikishan.

Syarikat itu menyaman Mohamed Azmin berhubung komennya tentang syarikat yangmemperoleh kontrak melalui rundingan terus dengan kerajaan untuk mengimport telur dari India, sebagai langkah sementara untuk menampung kekurangan dalam negeri.

Sambung Mohamed Azmin lagi, beliau juga bertanya soalan itu sebagai orang awam sebagai rakyat di negara ini.

“Apa salahnya seorang warganegara bertanya soalan ini? Ini bukan fitnah, ini soalan tetapi ianya langsung tidak dinafikan oleh pihak terbabit.

“Saya juga tidak sebut langsung nama syarikat itu, hanya kritik dasar kerajaan selain bertanya apakah penglibatan Deepak dalam projek import telur ini. Dalam ucapan tidak langsung merujuk kepada plaintif (J&E),” tegasnya.

Untuk makluman, sekitar Mac tahun lepas, semasa ucapan penggulungan Dewan Rakyat mengenai Rang Undang-Undang Perbekalan 2023, Mohamad Sabu menyatakan J&E Advance Tech diberi permit untuk mengimport telur dari India.

Mohamad Sabu berkata, J&E telah diberikan kontrak bukan melalui tender terbuka berikutan isu kekurangan stok telur ketika itu.

Dalam pada itu, hakim telah menetapkan 25 Julai depan untuk penghujahan lisan dan hujahan bertulis.

Pada 11 Mac tahun lalu yang mana  sebahagian daripada ucapan beliau mendakwa Deepak telah memperoleh kontrak untuk mengimport telur ayam melalui rundingan terus.

Kerajaan telah meluluskan pengimportan telur ayam dari India sehingga Jun ini dalam usaha menangani masalah kekurangan bekalan di pasaran tempatan.

Dua hari selepas kenyataan Mohamed Azmin itu, J&E Advance Tech menafikan syarikatnya memperoleh kontrak melalui rundingan terus dan menuntut pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu membuat kenyataan pembetulan dalam tempoh 72 jam.

Dalam surat tuntutan, peguam syarikat itu berkata, dakwaan Mohamed Azmin dalam ucapannya adalah tidak benar dan berniat jahat dengan memutarbelitkan fakta, memberi gambaran bahawa kerajaan korup dan tidak amanah serta anak guamnya tidak berprinsip dan menipu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast