KUALA LUMPUR – Dua suspek lelaki yang cuba menceroboh masuk ke Istana Negara di sini dengan membawa parang di dalam kenderaannya atas alasan hendak berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong berjaya diberkas polis semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sekitar lebih kurang 4.40 petang semalam seorang anggota polis telah menahan sebuah kereta jenis Perodua Kembara yang cuba memasuki PIntu 3, Istana Negara di Jalan Sultan Abdul Halim.
“Siasatan mendapati kenderaan yang dinaiki dua individu itu cuba masuk ke Istana Negara atas tujuan untuk berjumpa dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Pemeriksaan lanjut pegawai polis ke atas kenderaan suspek telah menjumpai sebilah parang.
“Susulan pemeriksaan, polis telah menahan dua orang lelaki warga tempatan berumur 29 dan 37 tahun itu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Rusdi, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek adalah negatif dadah.
Kedua-dua suspek itu bekerja sebagai buruh binaan sambilan dan penghantar e-hailing.
Kedua-dua suspek sedang disiasat di bawah Seksyen 447/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.
“Kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari mulai 18 sehingga 21 Mei ini bagi tujuan siasatan lanjut dalam kes ini.
“Justeru, pihak polis menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan sesuatu berita yang tidak pasti,” katanya.
Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette