Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin

KOTA KINABALU – UMNO Sabah memberi bayangan akan membentuk satu gabungan atau gagasan baharu dengan mana-mana parti yang dirasakan boleh bekerjasama dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata UMNO negeri perlu mengambil pendekatan itu kerana berpendapat tidak ada mana-mana parti di Negeri Di Bawah Bayu yang mampu bergerak secara solo pada PRN akan datang berdasarkan landskap politik semasa.

“Mengikut keadaan politik semasa termasuk di Sabah, kita tidak boleh bergerak secara solo sebab kita sudah melalui pilihan raya demi pilihan raya. Jadi kita kena ada gagasan, gabungan baharu.

“Rakyat sudah tidak boleh menerima parti tunggal, pengundi-pengundi muda melihat bagaimana parti-parti di Sabah. UMNO sudah memerintah, Warisan sudah, GRS (Gabungan Rakyat Sabah) sudah, STAR (Parti Solidariti Tanah Airku) sudah, PBS (Parti Bersatu Sabah) sudah, jadi pembangkang pun sudah.

“Itu juga parti-parti yang akan bertanding pada pilihan raya akan datang. Rakyat sudah boleh menilai… jadi biar rakyat menilai tapi kita merasakan perlu ada satu gagasan baharu untuk menstabilkan politik di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan watikah pelantikan Jawatankuasa Komuniti Desa MADANI di sini semalam.

Bagaimanapun, Bung Moktar berkata gagasan atau gabungan baharu antara UMNO dan parti lain akan diperhalusi terlebih dahulu manakala nama serta pembentukan akan dimaklum apabila tiba masa yang sesuai. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast