Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar diberi sambutan meriah semasa tiba di Majlis Apresiasi (Kecemerlangan) Pendidikan Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah Sesi 2023-2024 di Kuantan.

KUANTAN – Pendidikan merupakan batu asas dalam pembentukan masyarakat yang cemerlang dan sistem pendidikan sangat menuntut guru berperanan sebagai pemudah cara dan penjana transformasi pendidikan negara.

Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar bertitah, hari ini pendigitalan membuka pintu kepada pelbagai cara untuk menyampaikan ilmu dan membentuk minda.

Menurutnya, teknologi yang sentiasa berkembang diibarat sungai yang tidak pernah berhenti mengalir.

“Oleh itu, guru-guru perlulah bersikap luwes (fleksibel) mengikuti arus ini dan bersedia melakukan pemugaran (pemulihan) dalam sistem penyampaian ilmu seiring dengan aspirasi pendidikan negara,” titah baginda pada Majlis Apresiasi (Kecemerlangan) Pendidikan Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah Sesi 2023-2024 di sini hari ini.

Baginda turut menekankan akan cabaran besar yang perlu dihadapi dan ditangani para guru dan ibu bapa hari ini demi memastikan kejayaan pendidikan murid-murid.

Tegas baginda, ibu bapa pula perlu memainkan peranan yang aktif dengan memperkaya lagi proses pembelajaran anak-anak dan bukan sekadar menjadi penonton yang pasif.

Menurut Tunku Azizah, pemantauan yang lebih menyeluruh dan komunikasi yang lebih terbuka perlu agar anak-anak tidak terjebak dalam gejala tidak sihat.

“Anak-anak perlu ditanam dengan didikan agama yang menyeluruh agar dapat membentuk sikap dan jati diri yang utuh, berdaya tahan dan kalis cabaran masa hadapan,” titah baginda. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast