Gunung Everest

KATHMANDU – Mayat pendaki kedua Mongolia yang hilang di Gunung Everest telah ditemui, lapor media tempatan sekali gus mengesahkan kematian kedua di puncak tertinggi dunia dalam tempoh lima hari.

Purevsuren Lkhagvajav, 31, ditemui mati pada 8,300 meter (27,231 kaki) berhampiran “balkoni” Gunung Everest pada hari Jumaat, menurut Everest Chronicle, sebuah laman web pendakian gunung.

“Kami telah menerima laporan ia ditemui 30 meter (98 kaki) di bawah tali berhampiran batu puncak selatan,” kata Pengarah Ekspedisi 8K Khimlal Gautam.

Lkhagvajav berhubung dengan rakan senegaranya Usukhjargal Tsedendamba, 53, sehingga petang Ahad lalu dari Kem 4, yang terletak kurang daripada satu kilometer di bawah puncak.

Mayat Tsedendamba juga ditemui pada Jumaat pada ketinggian 8,600 meter (28,215 kaki) selepas beberapa hari operasi mencari dan menyelamat yang telah dihalang oleh cuaca buruk.

“Kami cuba menurunkan mayat,” kata Gautam.

Nepal memiliki lapan daripada 10 puncak tertinggi di dunia, dan mendaki gunung merupakan aktiviti pelancongan utama dan sumber pendapatan serta pekerjaan bagi negara kecil Himalaya itu.

Awal tahun ini, dua pendaki maut di Makalu berdekatan, puncak kelima tertinggi di dunia. – Agensi