Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa diminta segera mengambil tindakan ke atas ancaman bunuh yang diterima oleh Teresa Kok.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor  yang bersimpati dengan Teresa berkata, kita mesti pastikan budaya ugut mengugut, apatah lagi dalam perkara melibatkan keselamatan diri dan nyawa, tidak ada tempat dalam negara kita.

Menurutnya, wakil-wakil rakyat perlu merasa selamat untuk menyuarakan pandangan, tanpa kebimbangan mengenai ugutan sebegini.

Ia kerana perbezaan pandangan adalah perkara biasa dan sihat dalam sistem demokrasi.

“Saya difahamkan pihak polis sedang mengambil tindakan dan saya ucapkan terima kasih atas tindakan segera yang dijalankan,” katanya.

Wan Saiful mengulas dakwaan Teresa yang  menerima ugutan bunuh bersama dua butir peluru dalam surat yang dihantar ke rumahnya.

Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP memaklumkan surat ugutan berserta peluru itu ditemui dalam sampul yang diletakkan di peti surat kediamannya.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya sedang mengesan dalang kes surat mengandungi nota berbaur ugutan dihantar bersama dua butir peluru kepada Ahli Parlimen Seputeh tersebut.

Siasatan dijalankan selepas pihak polis menerima satu laporan berhubung kes itu pada jam 9 malam kelmarin. – MalaysiaGazette