Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Kematian Presiden Iran, Ebrahim Raisi yang terkorban dalam nahas helikopter merupakan satu kehilangan besar dalam dunia kepimpinan Islam dan rakyat Iran.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan Ebrahim seorang bervisi dalam usaha mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Iran dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

“Doa saya agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman dan beramal soleh,” kata Mohamad menerusi X.

Presiden kelapan Iran itu disahkan meninggal dunia dalam kejadian nahas helikopter di rantau Varzaqan di timur Azerbaijan.

Pengumuman itu dibuat jurucakap di Makam Suci Imam Reza.

Selain Ebrahim, helikopter malang itu turut membawa Menteri Luar Iran dan beberapa pegawai kerajaan. – MalaysiaGazette