Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,338 kes demam denggi telah dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-19 bagi tempoh 5 Mei hingga 11 Mei berbanding 1,995 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, tempoh ini turut mencatatkan satu kes kematian akiba komplikasi demam denggi.

Menurutnya, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan bagi tempoh itu sebanyak 57,220 kes berbanding 41,175 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Jumlah kematian disebabkan komplikasi demam denggi yang dicatatkan adalah sebanyak 40 kes berbanding 26 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.

“Bilangan lokaliti hotspot juga telah berkurang kepada 60 lokaliti berbanding 70 lokaliti hotspot minggu sebelumnya,” katanya.

Dari 60 lokaliti yang dilaporkan, sebanyak 45 di Selangor, tujuh di Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga di Sarawak, dua di Pulau Pinang manakala masing-masing satu di Perak dan Negeri Sembilan.

Bagi survelan Chikugunya pula, satu kes telah direkodkan walau bagaimanapun tiada wabak dilaporkan pada tempoh itu, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 24 kes.

“Bagi survelan zika, sebanyak 974 sampel darah telah diambil serta enam sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” tambahnya. – MalaysiaGazette