Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad ketika berucap pada Majlis Pemasyhuran Lenggong Geopark dan Perasmian Galeri Lenggong yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dataran Kota Tampan, di sini, pada Sabtu. Foto: ANIQ NABILAFIQ ANUAR

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyambut baik tawaran pertama lelongan Sijil Tenaga Boleh Baharu Malaysia (Renewable Energy Certificate – REC) dan Kredit Karbon melalui Bursa Carbon Exchange (BCX).

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kredit kedua-dua itu berpotensi menjadi pemangkin pembangunan projek rendah karbon sekaligus menyokong cita-cita negara mencapai pengurangan 45 peratus intensiti pelepasan berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

“Oleh itu, tawaran sulung kredit karbon Malaysia dan REC ini akan membuka peluang kepada sektor korporat untuk mengetengahkan tindakan iklim mereka melalui pengagihan modal dengan cekap bagi menyokong usaha pemuliharaan dan pemulihan hutan serta penggunaan teknologi rendah karbon.

“Justeru, NRES melihat penglibatan Bursa dalam menggalakkan projek karbon tempatan untuk berurus niaga melalui BCX ini adalah sesuatu yang membanggakan,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, NRES dalam masa yang sama menantikan perdagangan berterusan (continuous trading) dan luar pasaran (off market trading) untuk REC yang akan beroperasi menjelang akhir September 2024.

Nik Nazmi berharap minat pelabur domestik dan antarabangsa akan meningkat melalui proses lelongan berkenaan.

“NRES juga menantikan lelongan kredit karbon Malaysia yang pertama daripada Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut (‘Projek Kuamut’) pada 25 Julai 2024.

“Dalam hal ini, NRES mengalu-alukan pembangunan projek karbon yang memenuhi kriteria yang relevan dan sejajar dengan objektif kelestarian negara. NRES juga mengalu-alukan negara dan entiti yang berminat menjalinkan hubungan dengan Kerajaan untuk melabur dalam projek karbon di Malaysia,” jelasnya.

Selain itu, Nik Nazmi berkata, penyertaan Sarawak dan Sabah sebagai peneraju pembangunan projek karbon di wilayah masing-masing dalam menjana kredit karbon dan REC wajar dicontohi.

Sehubungan itu, beliau menyeru negeri-negeri lain turut membantu memacu pembangunan industri pasaran karbon Malaysia.

Menurutnya, kementerian yang telah dilantik sebagai ‘focal point’ dalam melaksanakan pasaran karbon dalam negara itu kini sedang menggubal Dasar Pasaran Karbon Negara.

Ujarnya, dasar berkenaan akan menyediakan panduan strategik terhadap inisiatif pasaran karbon negara dan menyelaras pelaksanaannya dengan konvensyen antarabangsa seperti UNFCCC dan ICAO serta pasaran karbon sukarela.

“Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan akan menghasilkan panduan strategik bagi menubuhkan ekosistem pasaran karbon yang teguh dan telus untuk menyokong cita-cita iklim Malaysia.

“Kementerian akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menentukan keselarian dan mempelajari pembangunan ekosistem Pasaran Karbon Sukarela Malaysia untuk disertakan dalam pembangunan Dasar Pasaran Karbon Negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast